
Sharp Aquos S3 Akan Dilancarkan 28 Mac Ini Dengan Dua Varian
Jangan pandang rendah dengan jenama ini, kerana Sharp merupakan antara yang terawal menggunakan skrin hampir penuh pada telefon pintar. Oleh itu, tiba masanya mereka ingin mengemas kini portfolio syarikat dengan memperkenalkan Sharp Aquos S3 pada 28 Mac ini. Melalui imej jemputan yang dikongsikan oleh CEO Sharp Mobile, majlis pelancaran akan diadakan di GEM Center, Vietnam.

Dua varian yang akan diperkenalkan ialah Sharp Aquos S3 dan Sharp Aquos S3 Mini. Kedua-dua peranti hadir dengan skrin 6-inci dan 5.5-inci. Bagaimanapun untuk bahagian kamera, varian Mini akan dibekalkan satu kamera di belakang, sementara Sharp Aquos S3 menerima dwi-kamera 12MP + 13MP. Dua model ini menyediakan kamera swafoto 16 Megapiksel.

Selain itu, Sharp Aquos S3 akan dilengkapi paparan nisbah 18:9 dengan rekaan ‘rongak’, manakala Aquos S3 Mini hadir dengan paparan nisbah 17:9 bersolusi HD penuh+. Kemungkinan pada sistem janaan, kedua-dua peranti dikuasakan cip pemproses pertengahan Qualcomm, RAM sehingga 6GB, storan sehingga 128GB, dan bateri sebesar 3,100mAh.

