
Hari ini pelajar cemerlang yang menyertai eKelas menerima penghargaan daripada pihak Maxis berupa wang tunai dan pek permulaan sekolah. Bagi yang masih belum tahu, eKelas adalah pembelajaran melalui komputer berasaskan awan khusus kepada pelajar menengah bawah bermula tingkatan 1, tingkatan 2, dan tingkatan 3 (PT3).
Dimiliki oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pusat pembelajaran komputer eKelas kini berada di 45 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di 10 negeri seluruh Malaysia yang dikelolai oleh Maxis. Para peserta eKelas yang menerima anugerah telah menunjukkan pencapaian yang ketara dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik.
Anugerah yang diberikan memerlukan peserta eKelas mendapat sekurang-kurangnya satu peningkatan gred untuk tiga mata pelajaran yang disebutkan tadi. Penganugerahan ini sekaligus melayakkan setiap seorang menerima wang tunai RM1,200 yang akan didepositkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bersama pek permulaan sekolah. Bagi peserta eKelas yang mendapat peningkatan gred dalam dua mata pelajaran pula, mereka turut mendapat anugerah dengan wang tunai SSPN berjumlah RM600 dan pek permulaan sekolah.
Majlis Anugerah Gemilang berlangsung di Menara Maxis, Kuala Lumpur telah menjemput seramai 11 pelajar dan majlis dihadiri Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr. Halim Shafie bersama Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda dan kakitangan Maxis serta ibu bapa pelajar.