
Kris Wu Berpaling Tadah Kini Duta Xiaomi Mi MIX 2S
Xiaomi tidak lama lagi akan melancarkan sebuah peranti terbaru iaitu Xiaomi Mi MIX 2S di China. Bagi menarik perhatian orang ramai, syarikat itu nampaknya telah mengupah seorang artis popular iaitu Kris Wu sebagai duta produk. Jika peminat masih ingat, Kris Wu dahulunya pernah menjadi duta produk untuk jenama OPPO. Kalau anda perasan Kris Wu juga pernah berlakon dengan Vin Diesel dalam filem xXx: The Xander Cage.
Melalui laman twitter milik jurucakap Xiaomi, Donovan Sung memaklumkan Kris Wu kini sah sebagai duta produk untuk Xiaomi Mi MIX 2S. Pelancaran yang akan dibuat pada 27 Mac ini akan menampilkan peranti yang dikemas kini daripada model terdahulu Mi MIX 2. Peranti ini dikatakan akan dilengkapi cip pemproses berprestasi tinggi, Snapdragon 845 bersama RAM 8GB dan storan sebesar 256GB.
Tarikh yang ditetapkan ini secara tidak langsung bertindih dengan tarikh pelancaran Huawei P20 di Paris. Apa-apapun kita tunggu sahaja sehingga pelancaran rasmi kelak.