
[Tertiris] DOOGEE V Tampil Dengan Rekaan Skrin Mirip iPhone X

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa DOOGEE bukanlah satu jenama besar di pasaran, tetapi adakah dengan kemunculan model terbarunya iaitu DOOGEE V yang telah tertiris di Internet ini bakal membuka mata banyak pihak?! Jika benar maklumat yang telah dikongsikan oleh @VenyaGeskin1 melalui akaun Twitter miliknya, model DOOGEE V ini sudah tentunya menjadi perhatian kerana ia menampilkan rekaan skrin penuh mirip seperti iPhone X.
Paparan skrin sebesar 6.2 inci dengan nisbah paparan 18:9 ini telah menerima sentuhan daripada AMOLED yang menjanjikan aspek kontras serta warna yang lebih menonjol. Apa yang lebih menariknya, DOOGEE V juga dipercayai turut menyokong teknologi pengimbas cap jari pada paparan skrin.

Keupayaan penggambarannya juga tidak diabaikan melalui sokongan kamera swafoto dwi lensa beresolusi 16 Megapiksel, dan juga dwi kamera beresolusi 21 Megapiksel untuk kamera utamanya. DOOGEE V menawarkan ruang storan sebesar 128GB dengan memori RAM mencecah 6GB, serta pemproses MediaTek Helio P40 yang terbaru.
Model terbaru ini dipercayai akan mula diperkenalkan oleh DOOGEE antara bulan April atau Mei 2018 ini dengan harga jualan sekitar USD300 hingga USD350 (kira-kira RM1,184 hingga RM1,381).
Sumber: VenyaGeskin1

