
Samsung Galaxy S8 Dan S8+ Bakal Terima Kemas Kini Rasmi Android 8.0 Oreo Awal 2018

Selepas melancarkan program Android 8.0 Oreo beta untuk Samsung Galaxy S8 dan S8+ sebelum ini, sebanyak tiga kemas kini versi beta telah diterima untuk pemilik kedua-dua peranti yang menyertai program tersebut. Sungguhpun begitu, setiap penerimaan kemas kini itu dikatakan memiliki isu yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemilik Galaxy S8 dan juga S8+.
Melalui forum BETA COMMUNITY untuk program tersebut, seorang peserta yang dikenali sebagai sg99 telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya berhubung isu yang dihadapi pada setiap kemas kini yang diterima. Menyedari akan situasi tersebut, pihak Samsung UK Beta Team dilihat telah membalas komen tersebut dengan mengumumkan bahawa kemas kini versi rasmi Android 8.0 Oreo untuk kedua-dua model tersebut akan diterima pada awal tahun 2018 iaitu sama ada penghujung Januari ataupun awal Februari nanti.

Berdasarkan kepada maklumbalas itu juga, pihak Samsung UK Beta Team turut menyatakan bahawa kemas kini Beta 4 akan tersedia untuk dimuat turun tidak lama lagi. Namun begitu tidak dapat dipastikan sama ada ketersediaan kemas kini akan turut diterima di negara ini pada tempoh masa yang sama ataupun tidak.
Sumber: AndroidHeadlines

