MediaTek Sensio MT6381 Dengan Sokongan Modul Biosensor 6 Dalam 1 Dilancarkan

Tidak dapat disangkal lagi bahawa MediaTek merupakan antara pemproses yang popular dan menjadi pilihan pengeluar peranti mudah alih untuk dikuasakan pada peranti kelas permulaan keluaran mereka. Walaupun pemproses ini sering mendapat kritikan daripada pengguna, MediaTek dilihat sering mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan cipset yang dioptimumkan untuk platform terbaru dari Google iaitu Android Oreo Go Edition, dan juga kerjasama dengan Google dalam mengumumkan GMS Express untuk menentukan standard pembuatan peranti Android.

Baru-baru ini MediaTek dilihat telah mengorak langkahnya apabila melancarkan pemproses terbarunya iaitu MediaTek Sensio MT6381 yang menyokong modul biosensor 6 dalam 1. Sokongan modul terbina-dalam ini telah menawarkan penyelesaian pemantauan kesihatan yang mengintegrasikan enam data ukuran utama di dalam satu cipset yang boleh digunakan pada telefon pintar.

Sokongan pemproses MediaTek Sensio MT6381 pada telefon pintar membolehkan pengguna untuk memeriksa dan memantau kesihatan fizikal terus melalui peranti tersebut dengan cara yang paling mudah dan cepat. Ini kerana MediaTek Sensio berupaya mengesan kadar degupan jantung, menentukan perubahan pada kadar degupan jantung, ECG, memeriksa tekanan darah, SpO2, dan juga Photoplethysmography (PPG).

Sumber: AnandTech

You might also like