

Akhirnya Apple telah membawa masuk peranti paling berkuasa pernah dihasilkannya setakat ini dengan ketersediaan model iMac Pro untuk pasaran tempatan. Diperkenalkan buat pertama kalinya dalam acara WWDC 2017 yang lalu, iMac Pro dengan pilihan warna kerangka Space Gray ini dijual pada harga bermula dari RM20,999 untuk konfigurasi minimum.

iMac Pro yang menampilkan sokongan skrin sebesar 27 inci dengan paparan 5K Retina ini telah ditawarkan dalam pelbagai pilihan konfigurasi bergantung kepada keperluan pengguna. Dikuasakan dengan pemproses Intel Xeon W, ia telah ditawarkan dengan empat pilihan teras berbeza iaitu 8, 10, 14 dan juga 18. Kapasiti memori DDR4 juga tersedia dalam tiga pilihan berbeza iaitu 32GB, 64GB dan juga 128GB. Manakala ruang storan SSD juga turut boleh dipilih sama ada 1TB, 2TB mahupun 4TB.

Bagi mendapatkan konfigurasi maksimum yang lengkap dengan aplikasi pra-pasang Final Cut Pro X dan juga Logic Pro X, harga Apple iMac Pro ini boleh mencecah sehingga RM61,816. Ia sudahpun boleh dimiliki melalui laman sesawang rasmi Apple Malaysia dan proses penghantarannya akan mengambil masa antara 5 hingga 8 minggu bergantung kepada konfigurasi yang dipilih.

