Google Assistant Berupaya Menyelesaikan Masalah Google Pixel 2 Dan Pixel 2 XL

Google Assistant boleh dianggap antara pembantu digital yang terbaik pernah diperkenalkan pada peranti mudah alih, dan fungsinya telah dipertingkatkan lagi melalui kemas kini terbaru Android 8.1 Beta Preview pada Pixel 2 dan juga Pixel 2 XL. Berdasarkan kepada perkongsian di Internet, seorang pengguna telah bertanya kepada Google Assistant mengapa peranti miliknya tidak boleh dicas penuh, dan apa yang menariknya pembantu digital itu telah menjalankan proses untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Bagi melihat sendiri apakah punca masalah tersebut, Google Assistant akan meminta kebenaran pemilik peranti untuk mengakses peranti bagi mengenal pasti puncanya. Ia akan memeriksa keadaan bateri dan akan memeriksa jika terdapat aplikasi yang menyebabkan isu tersebut terjadi. Apabila ia tidak memiliki pilihan untuk menyelesaikan masalah tersebut, Google Assistant akan mencadangkan anda untuk terus menghubungi bahagian sokongan Google sama ada melalui panggilan telefon ataupun perbualan.

Selain daripada bateri, Google Assistant juga akan turut menjalakan diagnostik pada sambungan Bluetooth dan juga kamera. Sungguhpun begitu, ciri terbaru ini hanya boleh dinikmati pada siri Pixel 2 yang dioperasikan dengan Android 8.1 Beta Preview di Amerika Syarikat sahaja. Manakala siri Pixel 2016 dan peranti yang dioperasikan dengan Android yang lain tidak akan disediakan dengan ciri terbaru ini.

Sumber : AndroidPolice

You might also like