
Samsung Gear Sport Dan Gear Fit2 Pro Akan Berada Di Malaysia Bermula Penghujung September Ini
Samsung baru-baru ini melancarkan beberapa produk terbaru di bawah siri peranti boleh pakai. Antaranya ialah Gear Sport, Gear IconX 2018, dan Gear Fit2 Pro. Kesemuanya ini diperkenalkan kepada umum yang mementingkan kecergasan fizikal dan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Dalam majlis pelancaran ini, Samsung Gear Sport dan Gear Fit2 Pro muncul dengan ciri-ciri kesihatan yang mudah untuk digunakan. Kedua-duanya mendapat sokongan kalis air yang mampu merekodkan masa pusingan semasa berenang. Malah, fungsi bacaan kadar degupan jantung juga lebih tepat dengan pemantauan masa sebenar. Selain itu, pengesan aktiviti automatik pula akan mengenalpasti senaman anda seperti tidur, berlari, ataupun mengayuh basikal mengikut kategori yang berbeza.
Samsung Gear Sport dilengkapi dengan paparan Super AMOLED bersaiz 1.2 inci kini lebih kukuh dengan rekaan tahan lasak tahap ketenteraan. Tali yang boleh ditukar pula membolehkan pengguna menukarnya mengikut kesesuaian sesuatu tempat. Ciri yang menarik pada jam pintar ini antaranya ialah ia boleh mengawal peranti IoT melalui sambungan Samsung Connect, fungsi NFC melancarkan lagi pengalaman membeli-belah menerusi Samsung Pay. Di samping, ia juga boleh menjadi alat kawalan untuk pembentangan PowerPoint atau Samsung Gear VR. Peranti ini boleh didapati dengan pilihan warna Biru dan juga Hitam.
Sementara Samsung Gear Fit2 Pro hadir dengan reka bentuk bersegi, dilengkapi paparan Super AMOLED berukuran 1.5 inci, ia mampu menghasilkan warna yang lebih jitu, terang serta jelas. Malah, reka bentuk yang ergonomik bersama tali yang ringan ini sangat selesa dipakai di dalam atau diluar bangunan. Jam pintar ini dipadankan dengan dua warna iaitu Merah dan Hitam.
Gear Fit2 Pro akan mula berada di pasaran Malaysia mulai penghujung September ini manakala Gear Sport pula akan menjengah pasaran tempatan seawal November depan.