Google Dan HTC Mengumumkan Kerjasama Bernilai RM4.61 Bilion

 

Google dan HTC hari ini mengumumkan perjanjian muktamad di mana pekerja HTC yang tertentu – kebanyakannya sudah bekerja dengan Google untuk membangunkan telefon pintar Pixel – akan menyertai Google. Difahamkan HTC akan menerima transaksi tunai bernilai AS $ 1.1b (RM4.61 bilion) dari Google sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Secara berasingan, Google akan menerima lesen bukan eksklusif untuk harta intelek (IP) HTC. Perjanjian ini merupakan bukti hubungan strategik selama sedekad antara HTC dan Google di dalam arena telefon pintar premium. Perjanjian ini juga menyokong strategi berterusan telefon pintar jenama HTC serta membolehkan portfolio produk yang lebih kemas, cekap, dan fleksibel.

HTC yang mempunyai bakat kejuruteraan terbaik dalam kelas – berikutan kejayaan pelancaran HTC U11 awal tahun ini akan terus membina ekosistem realiti maya untuk mengembangkan perniagaan VIVE. Ia juga melibatkan pelaburan dalam teknologi generasi akan datang termasuk Internet of Things (IoT), augmented reality (AR) dan kepintaran buatan (AI).

Bagi Google, perjanjian ini akan terus mengukuhkan komitmennya pada telefon pintar dan keseluruhan pelaburan dalam perniagaan. Sebagai tambahan kepada pasukan profesional yang berbakat dan berpengalaman, Google akan terus mendapat akses kepada IP HTC untuk menyokong keluarga telefon pintar Pixel. Di samping itu, perjanjian ini juga merupakan pelaburan penting oleh Google di Taiwan sebagai hab inovasi dalam teknologi utama.

Dengan adanya kerjasama oleh kedua-dua syarikat ini, diharapkan produk yang dikeluarkan pada masa akan datang akan menepati keperluan pengguna serta penuh inovasi.

You might also like