Xiaomi Memperkenalkan Redmi Note 5A – Kamera Depan 16 Megapiksel Dengan Harga Murah

Xiaomi sudah dikenali dengan peranti yang menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding jenama lain. Hari ini, mereka telah melancarkan sebuah model terbaru iaitu Redmi Note 5A.

Salah satu ciri utama yang diutamakan pada model ini ialah ciri penggambaran kamera depan. Ia didatangkan dengan sensor 16 Megapiksel bersama bantuan LED flash, dan untuk kamera belakang sensor 13 Megapiksel pula diletakkan di sudut atas peranti. Untuk sistem keselamatan, pengimbas cap jari yang pantas telah diposisikan di bahagian tengah kerangka bodi.

Pilihan warna Champagne Gold, Gold dan Platinum Silver Gray ini dipadankan bersama skrin berukuran 5.5 inci 1280x720p. Justeru, bagi menjana peranti ini, ia didatangkan dengan sebuah bateri berkapasiti 3,080mAh.

Xiaomi Redmi Note 5A dihidupkan oleh set cip Snapdragon 435 (28mm) octa-core Cortex-A53 hadir dengan tiga varian yang berbeza. Model asas dijual dengan tanda harga RMB699 (RM449) lengkap dengan RAM 2GB/16GB, selain RMB899 (RM577) untuk RAM 3GB/32GB, manakala spesifikasi tertinggi RAM 4GB/64GB pada harga RMB1,199 (RM770) seunit.

Dengan tanda harga yang berbaloi untuk dimiliki ini, pasti ramai dikalangan anda sudah berminat, bukan? Kita tunggu sahaja peranti ini dibawa masuk ke Malaysia kelak.

You might also like