
Xiaomi Mi Ninebot Plus – Papan Elektrik Yang Lebih Praktikal
Tidak dinafikan semakin banyak produk daripada syarikat China kini diterima oleh pengguna di seluruh dunia. Lihat apa sahaja di sekeliling, semuanya berasal daripada negara tersebut. Selaku peneraju utama syarikat berteknologi tinggi China, Xiaomi hari ini memperkenalkan tiga produk terbaru Mi Ecosystem iaitu Mi Laser Projetor, Ninebot Plus dan Mi Ultrasonic Toothbrush.
Oleh kerana mendapat permintaan tempahan sehingga 700,000 unit sejak pelancaran Ninebot Mini pada tahun 2015, Xiaomi kembali semula dengan model baharu iaitu Mi Ninebot Plus, sebuah “hoverboard” yang telah dinaik taraf daripada model Ninebot Mini. Berbanding model terdahulu, Ninebot Plus kini menggunakan casis magnesium alloy yang mampu menampung berat muatan sehingga 100kg.
Menggunakan dua motor elektrik berkuasa 800W, ia boleh digunakan dengan jarak sejauh 35km pada kelajuan 18km/j dengan sekali pengecasan. Bekalan kuasa juga disalurkan kepada lampu LED di depan, belakang dan indikator dapat memudahkan penunggang dilihat pada waktu malam.
Ninebot Plus ini boleh digerakkan melalui alat kawalan jauh tanpa memerlukan aplikasi di telefon pintar. Bagi pengguna yang ingin menambah aksesori pula, Mi Ninebot Plus menyediakan pilihan Mi Ninebot Plus Camera di mana ia boleh merakam gambar semasa menunggang.
Harga yang disyorkan adalah RMB3,499 (lebih kurang RM2,217) dan mula dijual pada 11 Julai depan.