
Samsung Galaxy Folder 2 – Peranti Android Boleh Lipat
Mengimbau kembali pada zaman Nokia N90, Sony Ericsson W518, Motorola Razr, ini antara peranti yang digayakan sekitar tahun 2004 hingga 2009. Fungsi lipat yang terletak di telinga ini membuatkan orang di sekeliling tidak kelip memandang.
Kembali pada tahun 2016, Samsung telah mengeluarkan telefon pintar yang diberi nama Samsung Galaxy Folder 2 menggunakan Android 6.0.1 Marshmallow hanya untuk pasaran China. Baru-baru ini, Samsung memasarkannya di negara sendiri iaitu Korea Selatan dengan tanda harga KRW297,000 (sekitar RM1,115).
Spesifikasi Galaxy Folder 2 dikuasakan oleh Snapdragon 425, RAM sebanyak 2GB serta storan dalaman 16GB. Manakala paparan bersaiz 3.8 inci WVGA dimuatkan pada kerangka dengan dimensi 122 x 60.2 x 15.4mm. Kamera utama menerima 8 Megapiksel LED flash dan kamera depan 5 Megapiksel cukup untuk merakam gambar santai.
Berat sebanyak 160g ini diambil kira bersama bateri berkapasiti 1,950mAh. Samsung juga mengeluarkan dua varian 3G dan 4G LTE pada peranti berwarna Merah Ruby ini.
Jika dibawa ke pasaran Malaysia, adakah anda akan mengeluarkan wang poket untuk mendapatkannya?