Acer Nitro 5 – Komputer Riba Permainan Kelas Permulaan

Baru-baru ini Acer telah melancarkan beberapa produk pada acara Computex 2017 yang berlangsung di Taipei, Taiwan, termasuk komputer riba permainan iaitu Acer Nitro 5 yang sesuai kepada ‘pendatang baru’ yang ingin berjinak-jinak dalam permainan video.

Acer Nitro 5 didatangkan dengan beberapa konfigurasi seperti model Generasi ke-7 Intel® Core i7 atau i5 dengan kad grafik NVIDIA® GeForce GTX 1050 Ti atau model Generasi ke-7 AMD A-Series FX, A12 atau A10 dengan kad grafik AMD Radeon™ RX550.

Empat varian ini hadir bersama perisian Windows 10 dan menyokong RAM sehingga 32GB DDR4 2400MHz. Storan pula menerima sehingga 512GB jenis SSD dengan HDD sehingga 2TB. Sambungan WiFi menggunakan 2×2 MIMO serta USB Type-C, satu USB 3.0 dan dua USB 2.0.

Paparan pada Acer Nitro 5 dimuatkan dengan skrin bersaiz 15.6 inci HD penuh jenis IPS, sementara speaker dengan teknologi Dolby Audio Premium dan Acer TrueHarmony bagi meningkatkan pengalaman hiburan. Papan kekunci pula hadir dengan fungsi backlighting dan pad sesentuh bagi memudahkan para pemain. Harga yang ditawarkan bermula pada CNY5,499 (lebih kurang RM3,464) dan akan mula dijual di China pada bulan Julai kelak.

You might also like