Reviu Eksklusif: Honor 6X, Telefon Pintar Bajet Dengan Kamera Dwi-Lensa

3GB RAM + 32GB ROM  Ι  RM 1,199
4GB RAM + 64GB ROM  Ι  RM 1,399

Honor, salah satu jenama terbaik jika anda sedang mencari telefon pintar bajet kini kembali dengan sesuatu yang agak mengejutkan dan istimewa. Siapa sangka telefon pintar dengan kamera dwi-lensa boleh dibeli tanpa perlu membayar harga yang melampau. Sebelum ini kami telah pun membuat preview terhadap peranti ini, sekarang kami ingin hadirkan dengan ulasan lebih teliti sepanjang mencuba dan menguji Honor 6X. Jadi teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami mengenai peranti ini.

 

FIZIKAL & REKA BENTUK

• Lensa Kamera Depan 8 Megapiksel                                          • Bezel Bawah

Kami sudah mencuba dan menguji banyak peranti dan semakin buntu setiap kali mengulas berkenaan reka bentuk dan fizikal peranti. Namun kami merasakan ada baik dan buruknya di dalam senario ini.

• Slot Kad Hibrid                                                     • Butang Kawalan

Okay… mulakan dahulu dengan aspek kurang baik. Dari segi reka bentuk, Honor 6X tidak jauh berbeza dengan peranti-peranti lain di pasaran. Pengeluar telefon pintar pada masa kini nampaknya saling menyalin elemen reka bentuk di antara mereka dan menyebabkan rupa peranti masa kini agak monotone, bosan dan tiada variasi yang ketara.

• Port Audio • Speaker
• Pengimbas Cap Jari

Yang baiknya pula, persaingan di dalam pasaran yang semakin sengit ini seolah menjadi pemangkin bagi pengeluar untuk menghasilkan kualiti binaan yang sangat baik. Beberapa tahun yang lalu, jika ditanyakan peranti manakah yang mempunyai kualiti binaan terbaik? Ramai pasti akan menjawab iPhone dari Apple. Kini senario tersebut sudah berubah, peranti kelas pertengahan pada harga yang lebih murah sudah setaraf kualiti binaannya dengan bahan binaan yang teguh dan kemasan berkualiti. Bagi eRing, Honor 6X tidak mempunyai cela pada kualiti binaan rangka dan panel besinya.

Pujian yang sama tidak dapat diberikan pada panel paparan Honor 6X, terima kasih kepada YouTuber kegemaran yang memuat naik video ujian ketahanannya. Melalui siri ujian JerryRigEverything, beliau mendapati Honor 6X menggunakan panel paparan yang agak berlainan dari majoriti peranti lain.

Pada kebiasaanya panel paparan akan menunjukkan kesan calar apabila ditoreh dengan mata skala 6. Namun Honor 6X mula menunjukkan kesan calar apabila dicalarkan dengan mata skala 4. Jelas menunjukkan ia agal lemah dari segi ketahanan calar. Jadi kami sarankan anda tidak mencabut pelindung skrin yang dipasang siap pada Honor 6X, atau lebih baik anda dapatkan tempered glass untuk peranti ini.

 

SPESIFIKASI

Dimensi / Berat 150.9 x 76.2 x 8.2mm / 162g
Paparan 5.5 inci, 1920 x 1080p, 403ppi
Sistem Operasi Android 6.0 dengan Huawei EMUI 4.1 (Rancangan kemas kini EMUI 5 pada suku tahun ke 2)
Pemproses Huawei Kirin 655, Octa-core
Memori 3GB RAM + 32GB ROM
4GB RAM + 64GB ROM
Kamera Utama: 12MP +2MP, f/0.95
Hadapan: 8MP
Sambungan MicroUSB, Audio jack 3.5mm, WiFI 802.11b/g/n,
Bluetooth v4.1, GPS
Bateri 3440mAh
Warna Gray / Gold

Cip pemproses Kirin 655 chipset, menjadikan 6X antara peranti kelas pertengahan yang mempunyai kuasa pemprosesan yang baik, tambahan pula cip ini dibantu 3GB RAM dan 32GB ROM. Kapasiti bateri 3340mAh pula mampu memberikan peranti ini bekalan kuasa melebihi satu hari kerana Kirin 655 menggunakan kuasa yang minimal. Menurut Huawei, satu kitaran penuh bateri ini mampu bertahan dari 1.5 hari (penggunaan berat) sehinggalah 2.15 hari.

Ujian benchmark juga menunjukkan skor Honor 6X yang hampir-hampir sahaja memasuki kalangan 50 peranti terbaik dari segi pemproses pada masa kini. Sepanjang menggunakan Honor 6X, saya juga tidak mengalami sebarang masalah ketika melancarkan dan menggunakan aplikasi. Segala proses tampaknya lancar di dalam peranti ini.
Namun tidak semua aspek spesifikasi Honor 6X sempurna dan terbaik. Saya merasakan masih ada kekurangan pada peranti ini, namun ianya masuk akal memandangkan Honor terpaksa mengorbankan beberapa fungsi bagi menawarkan peranti ini pada harga berpatutan. Antara kekurangan yang dimaksudkan adalah ketiadaan fungsi NFC, cas pantas, USB-C, WiFi 5GHz dan juga peranti ini masih belum menerima kemas kini Android Nougat.

 

ANTARAMUKA EMUI 4.1

Walaupun baru sahaja diperkenalkan, Honor 6X masih lagi dioperasikan oleh Android 6.0 Marshmallow dengan sentuhan antaramuka EMUI (Emotion UI) versi 4.1 sama seperti kebanyakan model Honor sebelum ini. Menurut Huawei, mereka akan melancarkan kemas kini Android Nougat dan EMUI 5.0 untuk Honor 6X pada suku kedua tahun ini. Sementara itu kami kongsikan dahulu screenshot paparan antaramuka Honor 6X seperti berikut:

• Lockscreen                                        • Homescreen                                      • Homescreen Menu
• Notification Area                                 • Quick Settings                                   • Settings
• Hidden Apps                                                                    • Recent Apps
• Pemain Muzik • Kamera

 

KAMERA

Sekarang kita sudah tiba ke bahagian utama peranti ini. Seperti yang dijelaskan pada awal artikel, Honor 6X merupakan peranti kelas ekonomi, sesuai bagi mereka yang mahukan sistem kamera dwi-lensa tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi. Jadi kami telah mencuba secara intensif kamera Honor 6X, terutamanya pada fungsi dwi-kamera ini yang membolehkan gambar dengan efek bokeh diambil.

Sistem kamera dwi-lensa merupakan ciri utama yang diketengahkan pada model Honor 6X. Penawaran ciri ini membolehkan pengguna mendapatkan kamera yang dilengkapi ciri terkini pada harga yang lebih murah. Sebagai perbandingan, smartphone lain dengan setup kamera dwi-lensa seperti Huawei P9 dijual pada harga RM 2,099, Honor 8 pula RM 1,899 dan iPhone 7 Plus mencecah harga RM 3,799.

Jadi mengapa harga Honor 8 dan Honor 6X jauh berbeza? Mengikut perbandingan kami, ini mungkin kerana spesifikasi lensa yang ada pada kedua-dua kamera. Honor 6X menggunakan lensa 12MP dan 2MP, manakala Honor 8 pula menggunakan lensa 12MP RGB bersama lensa 12MP hitam & putih. Jadi Honor 6X menggunakan sistem yang sedikit lebih rendah. Selain itu Honor 6X juga menggunakan perkakasan yang lebih rendah pada bahagian-bahagian lain yang turut menyumbang kepada tag harga yang mesra poket.

Kamera Honor 6X tidak dibantu sistem laser autofocus dan LED dual tone flash seperti terdapat pada Honor 8. Sebaliknya ia menggunakan sistem fokus PDAF yang biasa digunakan pada majoriti smartphone. Adakah kerendahan spesifikasi ini akan menggangu kualiti gambar pada Honor 6X atau pun pengurangan ini berbaloi dan masih mampu menghasilkan gambar yang bagus? Ayuh kita lihat contoh gambar.

Kedua-dua set gambar ini diambil pada satu shot yang sama dan kemudiannya boleh diubah titik fokus kerana sistem dwi-lensa telah diaktifkan semasa mengambil gambar ini. Kualiti bokeh yang dihasilkan agak baik, namun tidak sempurna. Anda dapat lihat efek kabur sedikit tercemar ke bahagian yang sepatutnya difokus dan ini sebenarnya masalah biasa yang ada pada kamera dwi-lensa yang ada pada smartphone masa kini.

Butiran tangkai tomato dipelihara dengan baik. Kita dapat melihat dengan jelas tekstur yang ada pada bahagian ini, jelas menunjukkan kamera pada Honor 6X tidak mengecewakan dan mampu menghasilkan gambar yang bagus.

 

Kelebihan
  • Kapasiti memori dalaman yang lebih besar kini tersedia dalam dua pilihan iaitu 32GB ataupun 64GB, begitu juga dengan RAM yang tersedia dalam kapasiti 3GB ataupun 4GB.
  • Prestasi pemproses HiSilicon Kirin 655 yang baru diperkenalkan ini menawarkan prestasi pemprosesan antara yang terbaik boleh anda dapati pada sebuah peranti mampu milik.
  • Sokongan dua buah lensa beresolusi 12 Megapiksel dan 2 Megapiksel sememangnya menjanjikan pengalaman fotografi yang lebih menyeronokkan kerana ia mampu menghasilkan efek bokeh yang sangat baik.
  • Kapasiti bateri sebesar 3340mAh dengan pengecas 5V2A bukan sahaja menjanjikan ketahanan bateri yang lama, tetapi memastikan proses mengecas yang lebih singkat.
Kekurangan
  • Walaupun baru diperkenalkan di pasaran, ia masih lagi belum menyokong Android 7.0 Nougat, walau bagaimanapun, Huawei telah menjanjikan sistem operasi tersebut akan tiba ke peranti ini sekitar suku ke 2 tahun ini.
  • Sokongan port USB Type-C yang menjadi trend pengeluar nampaknya tidak disediakan pada Honor 6X yang masih lagi hadir dengan port microUSB.
  • Paparan skrin Honor 6X agak mudah tercalar berbanding kebanyakan smartphone mampu milik yang lain dan anda disarankan untuk menggunakan pelindung skrin padanya.
  • Spesifikasi sambungan yang agak sederhana kerana tiada port inframerah, NFC dan juga tidak menyokong rangkaian WiFi ac dengan sokongan 5GHz.

 

RUMUSAN…

Jadi anda sudah pun kenal serba sedikit Honor 6X melalui ulasan ini, peranti kelas ekonomi dan mampu milik pastinya akan hadir dengan beberapa kekurangan. Pembelian peranti ini bergantung kepada corak penggunaan dan keinginan anda, sekiranya kurang menggunakan fungsi kamera dan hanya menggunakan kamera pada masa-masa tertentu seperti menangkap gambar rujukan lot parking di pusat membeli belah atau pun anda seorang pengguna yang agak kasar serta kurang cermat, ada baiknya anda mendapatkan peranti yang memfokuskan kepada fungsi ketahanan (Honor 6X agak lemah dari sudut ini).

Lain pula ceritanya jika anda benar-benar mahu mencuba dan mendapatkan sebuah peranti dengan sistem kamera dwi-lensa tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi. Kami memang mengesyorkan anda Honor 6X. Ianya lebih murah berbanding harga pesaing lain dan mampu menghasilkan gambar yang berkualiti.

You might also like