
Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba untuk produktiviti yang mudah dibawa ke mana-mana, boleh dilipat-lipat dan dijual pada harga mesra ekonomi, kami mahu cadangkan Acer Spin 5 untuk anda cuba, ianya dijual pada harga RM 2,199. Bagi membantu anda melakukan pilihan, kali ini kami bawakan ulasan kami sepanjang menggunakan komputer riba Acer Spin 5.
FIZIKAL
Kali pertama memegang Acer Spin 5, kami sudah dapat merasakan kualiti binaan yang baik dan teguh pada komputer riba ini. Bahagian luar panel paparan tampil kemas dan kuat dengan panel berkemasan brushed metal yang dapat mengelakkan kotoran seperti kesan cap jari dan minyak dari jelas kelihatan. Majoriti bahagian lain komputer riba ini diperbuat daripada plastik, namun ia masih solid ketika dipegang, diangkat dan digunakan.
Terdapat 13 skru yang mengunci panel bawah Acer Spin 5 dengan salah satu skru ini mempunyai pelekat jaminan. Sekiranya anda bercadang untuk membuka panel belakang dan merosakkan pelekat ini, jaminan akan serta merta tidak lagi sah untuk komputer riba anda. Panel bawah ini juga menempatkan dua speaker berfrekuensi rendah dan juga lubang aliran udara.
Engsel merupakan komponen yang menarik pada Spin 5, ia membolehkan komputer riba ini diletakkan pada pelbagai posisi berbeza. Anda boleh melipat komputer riba ini ke posisi “/\” dengan panel papan kekunci sebagai stand ataupun melipat sepenuhnya untuk menggunakan komputer riba ini seperti sebuah tablet.
PAPAN KEKUNCI & TRACKPAD
Kami amat selesa menggunakan papan kekunci pada komputer ini, mungkin kerana sudah terbiasa mengguna dan mencuba pelbagai jenis papan kekunci, dari komputer riba sehinggalah ke papan kekunci desktop. Bagi mereka yang biasa menggunakan papan kekunci desktop, anda mungkin akan berasa kurang selesa kerana papan kekunci pada Acer Spin 5 sedikit cetek.
Walaupun cetek, saiz permukaan yang lebar dan feedback yang diberikan papan kekunci ini amat baik, kesalahan ketika menaip amat jarang sekali berlaku dan layout standard yang digunakan juga akan memudahkan pengguna baru untuk menyesuaikan diri dengan papan kekunci ini.
Papan kekunci ini juga dilengkapi sistem pencahayaan dan anda boleh menetapkan di antara dua jenis intensiti cahaya. Namun kedua-dua tahap cahaya agak lemah dan malap, sehinggakan kadang kala tidak perasan sama ada ianya menyala atau tidak. Namun di dalam keadaan gelap gelita, cahaya ini dapat membantu serba sedikit untuk menaip.
Beralih pula kepada trackpad, terletak betul-betul di tengah komputer riba dan diperbuat daripada plastik. Kami mendapati tiada sebarang masalah pada unit trackpad ini, ia mampu mengesan dengan baik dan tepat input sentuhan yang diberikan.
SKRIN
Untuk skrin, Acer memilih panel IPS 13.3 inci dengan teknologi sentuhan. Warna-warna yang dihasilkan paparan ini cukup baik untuk kegunaan harian. Kontra warna dan sudut paparan Acer Spin 5 juga amat baik. Hasilnya, pengalaman ketika menonton video di komputer riba ini amat menyenangkan.
Dari segi kecerahan pula, paparan ini tidaklah terlalu baik kerana hanya mempunyai kadar kecerahan 200 nits. Apabila digunakan di luar agak sukar untuk melihat dengan jelas kandungan paparan, manakala ketika digunakan di kawasan indoor, paparan ini dapat dilihat dengan jelas dan selesa.
SPESIFIKASI & PRESTASI
| Dimensi | 12.7 X 9 X 0.8 inci |
| Paparan | 13.3 inci, LED backlight, 1920 x 1080 piksel (Full HD) |
| Sistem Operasi | Windows 10 Home |
| Cip Pemproses | Intel Core i3 6100U 2.30GHz |
| Grafik | Intel HD Graphics 520 |
| RAM | 4GB DDR4 |
| Input | Papan kekunci, sentuhan dan juga pen stylus |
| Storan | 128GB SSD |
| Port Sambungan | 2 x USB 2.0, 1 x USB 3.0, 1 x HDMI, 1 x Headphone/microphone, 1 x slot kad memori |
| Sambungan Rangkaian | Bluetooth, 802.11a/b/g/n/ac, Wireless M.2 Card |
| Bateri | 3220mAh |
| Harga | RM 2,199 |
**Siri Spin 5 hadir dari pelbagai variasi spesifikasi, unit reviu yang diterima ini adalah variasi dengan spesifikasi paling asas.
Dari segi perkakasan, siri Spin 5 dibina menggunakan pemproses Intel Core Skylake U dengan variasi 4GB atau 8GB DDR4 RAM dan M.2 SATA 80mm SSD, unit reviu kami merupakan variasi spesifikasi asas yang terendah. Jadi skor prestasi yang kami kongsikan dalam ulasan adalah berdasarkan spesifikasi perkakasan ini. Untuk prestasi yang lebih baik, anda boleh mendapatkan variasi dengan perkakasan lebih baik.

Ujian benchmark dilakukan bagi mendapatkan data skor prestasi Acer Spin 5. Hasilnya, Novabench menunjukkan bahawa komputer riba ini boleh mengendalikan dengan baik pelbagai jenis tugasan, cuma sedikit kekurangan di mana pemproses grafik berada di zon sederhana menghampiri kurang memuaskan. Jika anda hanya bercadang untuk menonton video / filem dan sebagainya, komputer riba ini masih mampu melakukan dengan baik, namun prestasi grafik akan menurun dengan mendadak sekiranya anda bermain permainan komputer.
RUMUSAN
Acer Spin 5 merupakan salah satu pilihan komputer riba 2 dalam 1 dengan harga yang berpatutan. Kami rasakan bahawa harga menjadi faktor penarik terpenting pada model ini jika dibandingkan dengan model komputer riba 2 dalam 1 lain yang dijual pada harga lebih tinggi, seperti Dell Inspiron 13 5000 dan HP Pavilion x360.
Kekurangan Acer Spin 5 berbanding model pesaing yang disebut tadi adalah pada fizikalnya di mana ia sedikit berat dan lebih tebal. Selain itu terdapat kelemahan pada pencahayaan papan kekunci yang kurang terang dan juga kelemahan skrin ketika digunakan di luar.
Bergantung kepada corak penggunaan anda, Acer Spin 5 boleh jadi sebuah komputer 2 dalam 1 yang sempurna untuk anda sekiranya anda mementingkan sebuah komputer yang mesra ekonomi untuk digunakan di pejabat atau rumah.









