
HTC telah membina satu studio khas yang akan bertanggungjawab dalam membina aplikasi, permainan dan pembangunan ekosistem VR mereka pada masa hadapan. Dikenali sebagai Vive Studio, pusat pembangunan berkenaan sebenarnya telah pun melancarkan permainan Arcade Saga di bawah nama 2 Bears Studio.
Vive Studio dilihat sebagai pesaing terdekat kepada Oculus Studio, namun terdapat sedikit perbezaan dari misi dan visi kedua-dua pembangun VR ini. Vive Studio dilihat lebih cenderung untuk menghasilkan kandungan dan servis mereka kepada rakan niaga dan pihak ketiga sebelum produk mereka sampai kepada pengguna. Pendekatan korporat Vive Studio berbeza sekali dengan Oculus yang dilihat lebih cenderung dan rapat dengan pasaran pengguna.
Jika anda berminat untuk bermain Arcade Saga, bolehlah muat turun permainan tersebut di Steam pada harga RM 56.00. Arcade Saga memerlukan komputer berkelas VR Ready dan juga headset VR.