
Google Mula Menapis Dan Membuang Komen Palsu Di Play Store
Satu langkah yang bijak dari Google atas usahanya memastikan ulasan aplikasi di Play Store telus dan benar.
Apabila ingin memuat turun mana-mana aplikasi, biasanya kami akan membaca dahulu bahagian komen, dan kami juga pasti ramai yang berbuat sedemikian. Komen dari pengguna lain menjadi rujukan terbaik bagi mengetahui prestasi dan keadaan sebenar sesebuah aplikasi. Untuk menjadikan bahagian komen lebih telus dan tepat, Google sudah mula menjalankan langkah menapis dan membuang komen palsu yang biasanya dinaikkan bagi memberikan gambaran tidak benar sesebuah aplikasi untuk menarik perhatian pengguna.
Google sudah mengenal pasti modus operandi beberapa pembina aplikasi yang mengupah pihak ketiga bagi menaikkan ulasan aplikasi palsu, dan Google bertekad menghentikan perkara ini dari terus mengaburi pengguna. Google bagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana proses penapisan dilakukan.