
Grab merupakan salah satu nama yang tidak asing lagi bagi pengguna tempatan. Dikenali sebagai MyTeksi sebelum ini, kini telah melalui proses penjenamaan semula ketika memperluaskan penawaran ke pelbagai negara di rantau Asia Tenggara. Terbaru, Grab hari ini mengumumkan mereka telah menerima suntikan dana bernilai USD750 juta (kira-kira RM 3.1 bilion) daripada beberapa pelabur termasuk Softbank. Grab memberitahu pelaburan ini akan digunakan dalam memperluaskan penawaran dan memperkukuhkan perkhidmatan mereka di rantau Asia Tenggara.
Mungkin dengan suntikan dana yang ada, Grab akan ditawarkan di lebih banyak bandar di Malaysia. Buat masa ini, ianya telah beroperasi di Lembah Klang, Melaka, Kota Kinabalu, Johor dan Pulau Pinang. Jika dilihat dengan pelaburan terbaru Grab ini, boleh menjana lebih banyak keuntungan melalui perkhidmatan mereka.
Sejak mendapat dana siri E pada Ogos 2015, Grab telah mempunyai empat kali ganda pemandu dan pengguna aktif. Sehingga hari ini, aplikasi Grab telah dipasang sebanyak 21 juta peranti mudah alih dan pengguna yang mengaksesnya serta 400,000 pemandu yang bersedia memenuhi keperluan pengangkutan anda.

