
Reka bentuk minimal dengan kemasan premium menjadi daya penarik utama HP Elitebook 745 G3. Model ini dibina para jurutera teknologi di HP dengan menjadikan produktiviti dan versatility sebagai tunjang utama Elitebook 745 G3. Kami berkesempatan menggunakan komputer riba ini, berikut adalah ulasan dan pengalaman kami sepanjang menggunakan Elitebook 745 G3 dalam melakukan kerja dan tugasan harian.
SPESIFIKASI
ASPEK FIZIKAL
Fizikal dan reka bentuk merupakan antara perkara yang terpenting dalam pemilihan komputer riba. Pada masa kini, ramai pengguna memilih untuk memiliki komputer riba yang mempunyai reka bentuk yang nipis dan ringan bagi memudahkan mereka membawa komputer riba ke mana-mana sahaja, selain itu bahan binaan tahan lasak dan kemasan berkualiti tinggi menjadi faktor pemilihan yang penting.
Aspek fizikal dan reka bentuk, HP Elitebook 745 G3 tidak mengecewakan, malah ia boleh dianggap cemerlang kerana menepati hampir semua kemahuan pengguna masa kini. Panel besi yang digunakan pada model ini memberikan keteguhan binaan dan kemasan yang diberikan kepada permukaan tersebut juga harus dipuji kerana kesan kotoran seperti cap jari amat susah untuk melekat.
Bahagian engsel komputer riba ini menggunakan komponen yang biasa digunakan pada model-model komputer riba lain. Oleh kerana komputer riba ini dibina bagi tujuan produktiviti, fungsi seperti gerakan skrin 180 darjah tidak disertakan. Skrin hanya boleh digerakkan sehingga kira-kira 135 darjah sahaja.
Salah satu ciri yang kurang digemari adalah bahagian bezel komputer riba ini, ianya sedikit lebar dan pereka HP mampu melakukan lebih baik dari ini. Jika diperhatikan dengan teliti, terdapat ruangan bezel yang besar di antara kamera webcam dan skrin. Adalah lebih baik sekiranya saiz skrin dimaksimakan agar pengguna dapat menikmati paparan yang lebih luas dan baik.
Monitor menunjukkan kesan flex yang minimal, manakala bahagian panel badan utama tidak menunjukkan kesan langsung terhadap tekanan. Ini jelas menunjukkan keteguhan Elitebook 745 G3.
PAPAN KEKUNCI & TRACKPAD
Papan kekunci dan trackpad adalah dua komponen penting bagi pengguna yang sering melakukan tugasan kerja di komputer riba. HP meletakkan Elitebook 745 G3 sebagai komputer riba produktiviti, dan kami cukup berpuas hati dengan papan kekuncinya. Kekunci disusun di dalam layout yang normal tanpa banyak modifikasi dari susun atur standard dan saiz kekunci juga cukup besar untuk mengelakkan kesalahan ketika menaip. Travel key papan kekunci ini juga sangat baik dan sesuai bagi mereka yang menaip dengan pantas.
Bahagian trackpad pula direka dengan baik dan berfungsi dengan sempurna. Tebing pada bahagian tepi trackpad memudahkan pengguna mengesan kawasan trackpad dan kemasan licin yang digunakan pada permukaan trackpad memudahkan anda mengawal cursor. Selain itu HP juga melengkapkan komponen ini dengan 4 butang klik pada bahagian bawah dan atas trackpad, anda boleh menggunakan mana-mana butang bergantung kepada keselesaan anda.
Sekiranya anda mahu menyahaktif fungsi trackpad, tap dua kali pada bintik hitam, nyalaan cahaya menunjukkan trackpad dalam keadaan tidak aktif.
SKRIN

Kualiti skrin Elitebook 745 G3 bukanlah yang terbaik, paparan nampak sedikit kusam seolah-olah terdapat lapisan pelindung tebal di atas permukaan skrin. Ketika digunakan di kawasan luar yang mempunyai cahaya matahari, agak susah untuk melihat paparan skrin dan melakukan kerja.
SPEAKER
Gril bahagian atas menempatkan set speaker yang ditala oleh Bang & Olufsen, kualiti bunyi yang terhasil dari komputer riba ini amat baik. Bunyi amat lantang tanpa banyak distortion dikesan keluar dari speaker.
IO PORT
HP Elitebook 745 G3 sememangnya sebuah komputer riba yang versatil, ia hadir dengan pelbagai jenis sambungan port, memudahkan anda untuk menyambungkan pelbagai jenis peranti dengan komputer riba ini. Sambungan terbaru seperti USB Type C juga turut disokong komputer riba ini.
FUNGSI KESELAMATAN BIOMETRIK
Komputer kelas profesional seharusnya memiliki sistem keselamatan yang terbaik, ini demi melindungi fail-fail sensitif di dalam komputer. Oleh itu HP melengkapkan Elitebook 745 G3 dengan fungsi pengesan cap jari. Untuk menetapkan cap jari, anda perlu melancarkan dahulu perisian HP Client Security, selepas itu ikut arahan yang diberikan oleh perisian.
• Perisian untuk menetap dan melengkapkan fungsi keselamatan cap jari.
KAMERA

Zaman kini kamera webcam pada sesebuah komputer riba bukanlah sesuatu yang penting, kerana kebanyakan komunikasi video kini dilakukan melalui smartphone. Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba dengan kamera berprestasi tinggi, Elitebook 745 G3 bukanlah model yang anda cari, namun kamera pada komputer ini masih mampu merekod dan menangkap gambar dengan kualiti yang memuaskan.
ULASAN PRESTASI
Ujian pertama adalah boot time bagi menguji kepantasan komputer riba ini dihidup dan dipadamkan.


Ujian seterusnya pula adalah benchmark pemproses, ujian ini dilakukan di dalam dua parameter. Yang pertama untuk menguji kecekapan komputer dalam mengendalikan proses berkaitan kerja di pejabat seperti pembentangan visual, kerja menaip, video chat, konferens dan lain-lain. Ujian kedua pula melibatkan proses yang selalu pengguna lakukan di rumah seperti menonton video, permainan video kasual, melayari Internet dan lain-lain.


Ulasan Skor: Berdasarkan skor kedua-dua ujian, jelas dapat dilihat bahawa
Elitebook 745 G3 merupakan komputer riba yang lebih sesuai digunakan untuk
kerja-kerja profesional.
Ujian terakhir adalah kelajuan membaca dan menulis data yang dilakukan melalui perisian CrystalDiskMark. Berdasarkan skor yang dicatatkan Elitebook 745 G3, sememangnya komputer riba ini mampu beroperasi dengan baik bagi pengguna kelas profesional.
PRO
- Papan Kekunci
Mempunyai papan kekunci yang selesa digunakan untuk kerja menaip - Spesifikasi
Spesifikasi cip dan memori yang mampu membantu anda melakukan kerja dengan pantas. - Kualiti Binaan
Bahan binaan yang teguh dan reka bentuk moden merupakan daya penarik visual pada komputer riba ini. - Fungsi Keselamatan Biometrik
Fungsi pengesan cap jari yang memberikan perlindungan kepada peranti dan fail anda. - Sambungan IO Port
HP Elitebook 745 G3 menawarkan variasi sambungan port yang banyak, memudahkan anda menyambungkan pelbagai jenis peranti ke komputer riba ini.
KONTRA
- Skrin
Agak sukar melihat imej di skrin ketika komputer riba digunakan di kawasan yang cerah. - Bezel
Rekaan bezel yang tebal di sekeliling skrin.
KOMEN
HP Elitebook 745 G3 adalah pilihan yang wajar sekiranya anda mencari-cari sebuah komputer riba untuk digunakan untuk melakukan tugasan di pejabat, malah ia juga sesuai untuk para pelajar yang kerap melakukan pembentangan dan kertas kerja. Saiznya yang nipis memudahkan ia dibawa ke mana-mana, selain itu bahan binaan yang teguh menjamin komputer riba ini akan bertahan buat jangka masa yang lama.