
Ketirisan Imej Smartwatch Meizu Yang Dipercayai Bakal Diumumkan Pada 10 Ogos Ini
Seiring dengan kemeriahan pasaran telefon pintar dengan kemunculan pelbagai model terbaru di pasaran, nampaknya pengeluar telefon pintar juga turut mengambil peluang keemasan ini dengan memperkenalkan aksesori menarik untuk digunakan bersama dengan peranti tersebut. Nampaknya jenama popular dari China iaitu Meizu juga tidak mahu ketinggalan apabila baru-baru ini telah dilihat ketirisan imej smartwatch pertama keluaran jenama itu.
Berdasarkan kepada perkongsian yang dibuat dalam blog XiaomiToday, sebuah kotak berwarna kelabu dengan logo Meizu telah dikongsikan kepada umum. Walaupun kotak itu tidak dibuka dan didedahkan apa yang terdapat di dalamnya, saiz kotak bersegi empat itu diyakini merupakan pakej pembungkusan sebuah smartwatch berbanding telefon pintar. Smartwatch Meizu ini dipercayai bakal dikuasakan dengan pemproses Dual Core A5 daripada Intel Rockchip RK6321
Di dalam gambar yang berasingan, blog itu juga turut mendedahkan gambar sebenar smartwatch keluaran Meizu yang menampilkan sokongan muka jam yang berbeza. Menurut sumber, imej latar pada jam pintar itu boleh diubah dan disetkan dengan pelbagai imej dan menyokong tali jam berwarna hitam dan juga coklat bagi menyerlahkan ciri-ciri premium dan bergaya. Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi imej ketirisan smartwatch keluaran Meizu yang jelas memperlihatkan rekaan yang lebih ringkas jika dibandingkan dengan ketirisan imej yang pertama. Oleh itu sama-sama kita tunggu dan lihat apakah rekaan sebenar yang akan digunakan pada smartwatch pertama keluaran Meizu yang akan didedahkan pada 10 Ogos 2016 ini.




