
Nextbit Selesaikan Masalah Bateri Smartphone Melalui Perisian Istimewa
Nextbit telah menjadi salah satu daripada syarikat smartphone yang menarik sejak kebelakangan ini, peranti yang dikeluarkan syarikat ini adalah Nextbit Robin. Menurut syarikat tersebut, peranti ini mampu membawa perubahan dalam penggunaan storan awan kerana ia telah menawarkan muatan awan sebesar 100GB. Selain muatan awan yang diketengahkan, spesifikasi lain termasuk juga skrin 5.2 inci, pemproses Snapdragon 808, 3GB RAM dan 32GB memori dalaman.
Baru-baru ini, syarikat ini berjanji bahawa ia boleh menyelesaikan masalah bateri telefon pintar dengan menggunakan perisian istimewa yang akan dibangunkan pakar-pakar mereka. Berkemugkinan besar perisian yang dimaksudkan adalah sebuah sistem operasi yang mesra kuasa dan sekaligus menjimatkan bateri. Syarikat itu mendakwa apabila ia siap kelak, perisian tersebut akan hadir bersama aplikasi untuk mengoptimumkan bateri, tabiat pengguna dan juga masa skrin aktif.
Nextbit tidak menerangkan secara khusus bagaimana perisian ini akan berfungsi, tetapi mereka nekad untuk menyelesaikan masalah kuasa di dalam teknologi smartphone tanpa perlu memuatkan bateri berkapasiti besar di dalam peranti akan datang. Dijangkakan bahawa perisian tersebut akan diperkenalkan hujung tahun ini.