
Kita masih belum memasuki fasa pertengahan tahun 2016, editor pasti baki tahun 2016 yang tinggal ini kita pasti akan melihat pelbagai smartphone dilancarkan yang akan membuatkan kita berasa kagum. Pengeluar pasti berlumba-lumba mengeluarkan peranti berprestasi tinggi untuk menggondol takhta smartphone terbaik 2016, atau adakah sebenarnya kita sudah melihat calon terbaik bagi anugerah tersebut apabila Samsung melancarkan Galaxy S7 Edge di KLCC pada 17 Mac lalu.
Sekilas Pandang
Apabila Samsung memutuskan untuk mengecualikan fungsi kalis air dan microSD pada model Galaxy S6 tahun lalu, mereka sebenarnya telah menarik balik kelebihan yang paling digemari pada Galaxy S5. Tindakan tersebut lantas menyebabkan ramai pengguna, terutama yang bertukar dari model Galaxy S5 kepada Galaxy S6 yang merasakan Samsung telah melakukan tindakan yang kurang bijak. Bukan itu sahaja, ramai pengguna juga kurang berpuas hati dengan kapasiti bateri yang rendah pada Galaxy S6, antara perkara positif yang boleh dilihat pada model tersebut adalah prestasi kameranya yang dikatakan antara terbaik antara model-model flagship lain pada tahun lalu dan juga reka bentuknya yang elegan.
Beranjak tahun 2016, Samsung telah pun melancarkan Galaxy S7 Edge di Malaysia, dan model ini disebut-sebut sebagai versi Galaxy S6 yang lebih sempurna. Samsung telah berusaha memastikan peranti ini tampak kemas dan elegan sambil memberikan spesifikasi terbaik yang pengguna mahukan. Sekilas pandang peranti terbaru ini saling tidak tumpah dengan model Galaxy S6 Edge, namun anda perlu memegang sendiri Galaxy S7 Edge untuk merasai kelainan model ini.
Selain itu, Galaxy S7 Edge juga kembali dengan fungsi kalis air dan juga sokongan microSD, ianya sesuatu yang sangat mengujakan pengguna memandangkan kini mereka mempunyai lebih kawalan ke atas peranti dari segi saiz storan. Fungsi kalis air pula memberikan jaminan bahawa model ini boleh dibawa ketika cuaca kurang baik dan semasa melakukan aktiviti air.
Reka Bentuk

Galaxy S7 Edge merupakan peranti yang mempunyai reka bentuk bergaya dan elegan, sekiranya anda seseorang yang hanya mementingkan spesifikasi, masih terdapat pilihan alternatif di pasaran. Reka bentuk Galaxy S7 Edge sesuai bagi mereka yang mahukan peranti yang mampu memberikan fashion statement di dalam gaya hidup digital mereka di samping mempunyai spesifikasi yang hebat. Rupa dan estetik fizikal Galaxy S7 Edge mirip dengan model terdahulu dengan elemen reka bentuk Galaxy S6 Edge masih jelas diterapkan oleh Samsung di dalam model terbaru ini. Lengkungan sisi yang cantik memberikan dimensi badan yang elegan kepada model ini dengan rangka aluminium bagi mengukuhkan keseluruhan binaan.

Editor sangat meminati rekaan panel belakang sedikit melengkung, menurut Samsung ianya adalah hasil proses yang dikenali sebagai 3D Thermo Forming. Proses ini memberikan kemasan yang sangat memuaskan pada tangan apabila memegang peranti di mana sisi panel dan bingkai besi terasa seperti satu unit yang terjalin dengan sempurna. Hasilnya anda tidak akan merasai sisi peranti yang tajam apabila anda memutar atau memegang erat peranti di tangan.
Sungguhpun rekaan Galaxy S7 Edge cantik dan selesa di tangan, terdapat satu isu yang ingin editor ketengahkan. Setelah beberapa minit menggunakan peranti ini, editor mendapati panel gelasnya cepat comot dengan kesan minyak dan cap jari. Bagi mereka yang mementingkan kebersihan peranti ini mungkin akan menjadi satu isu yang besar kerana Galaxy S7 Edge perlu kerap dilap bagi memastikan ianya sentiasa nampak bersih dari kotoran. Namun anda boleh menyelesaikan isu ini dengan memasang casing atau skin pada Galaxy S7 Edge.

Spesifikasi
Menyentuh tentang spesifikasi, editor akan membentangkan informasi perkakasan Galaxy S6 Edge dan Galaxy S7 Edge untuk rujukan anda. Ayuh kita lihat apakah tambah baik yang Samsung berikan pada model terbaru ini.
Berdasarkan jadual spesifikasi di atas, anda dapat melihat bahawa Samsung telah melakukan banyak perubahan di dalam perkakasan peranti Galaxy S7 Edge berbanding model terdahulu. Antara yang menjadi perhatian adalah kemunculan semula sokongan MicroSD dan slot SIM hybrid. Selain itu tambah baik kapasiti bateri yang jauh lebih besar akan dapat memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan peranti secara intensif.


Ujian benchmark dijalankan bagi melihat skor prestasi Galaxy S7 Edge untuk perbandingan dengan smartphone lain. Aplikasi Geekbench 3 dan AnTuTu digunakan bagi tujuan ini, hasilnya adalah Galaxy S7 Edge mengungguli carta prestasi kedua-dua ujian lantas membuktikan kemampuan peranti ini.
Fungsi Menarik Pada Galaxy S7 Edge
i)Always On Display
Editor merasakan fungsi Always On Display merupakan salah satu fungsi paling berguna pada Galaxy S7 Edge. Apabila anda mengaktifkan fungsi ini, satu paparan informasi akan sentiasa terpasang untuk anda lihat pada skrin peranti walaupun peranti sudah berada dalam lock mode. Anda boleh memilih jenis informasi yang ingin dipaparkan pada skrin seperti masa, tarikh dan juga imej.
ii) Game Launcher
Fungsi ini dibina bagi memudahkan anda menguruskan aplikasi permainan dan memudahkan pergerakan anda ketika bermain tanpa tertekan butang-butang yang tidak diingini seperti back dan recents.
Setelah mencuba fungsi ini, editor merasakan terdapat pro dan kontra apabila menggunakannya. Walaupun ia memudahkan editor dengan menyusun sendiri permainan di dalam folder khas, tetapi terdapat beberapa aplikasi bukan permainan juga dimasukkan ke dalam folder tersebut. Contohnya seperti di dalam gambar langkah pengaktifan, aplikasi diagnostik Hardware Info telah disalah tafsir sebagai aplikasi permainan. Selain itu agak sukar untuk mengelak dari tertekan butang Game Tool ketika bermain permainan dan ini menyebabkan rasa jengkel.
iii) Edge Display
Fungsi Edge Display sudah diperkenalkan semenjak siri Galaxy S6 lagi, namun ianya dilihat lebih sekadar gimik kerana fungsinya yang sangat terhad di mana anda hanya boleh mengakses kenalan sahaja. Pada versi Galaxy S7 Edge, fungsi ini lebih menyeluruh dan berguna, kini anda boleh menetapkan lebih banyak kenalan, aplikasi dan fungsi tertentu pada paparan Edge.
Selain itu anda juga boleh mendapatkan pelbagai jenis panel yang boleh ditetapkan pada Edge Display. Hanya masuk ke paparan Edge Display dan tekan butang tetapan. Selepas itu anda boleh mengakses pelbagai kandungan yang boleh dimuat turun dari stor aplikasi Samsung. Sesetengah panel yang ditawarkan adalah berbayar seperti File Manager Panel, Quick Setting Panel dan Call Log Panel. Namun anda tidak perlu khuatir, masih ada banyak pilihan panel percuma telah disediakan.
iv) Slot MicroSD Hybrid
Model Galaxy S6 adalah antara model terbaik pada tahun lalu, namun ia masih hadir dengan beberapa kelemahan seperti tiada sokongan stor tambahan MicroSD. Fungsi ini jelas menjadi perbualan hangat di kalangan pengkritik dunia teknologi yang mengatakan bahawa Samsung telah melakukan kesilapan yang besar kerana majoriti pengguna Android amat mementingkan sokongan MicroSD.
Namun anda hanya boleh menggunakan satu talian mobil sahaja sekiranya anda mahu menggunakan fungsi MicroSD. Ini kerana Samsung Galaxy S7 Edge hadir dengan Dual SIM Hybrid Tray yang membolehkan anda menetapkan salah satu dari dua konfigurasi iaitu :
- SIM 1 + SIM 2
- SIM 1 + MicroSD
v) Adaptive Fast Charging
Tiada yang lebih menghampakan dari kehabisan bateri di saat anda memerlukan peranti, Samsung cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan dua cara, iaitu menawarkan kapasiti bateri yang besar kepada anda (3600 mAh), di samping anda juga boleh memanfaatkan fungsi Adaptive Fast Charging.
Dengan fungsi Adaptive Fast Charging anda boleh mendapat cas kuasa hampir 50% dengan hanya 30 minit masa mengecas. Namun menurut Samsung untuk mendapat kadar cas seperti yang disebutkan dalam masa yang singkat anda perlulah menggunakan plag kuasa yang disediakan bersama peranti. Ini kerana pilihan alternatif tidak dijamin akan memberikan kadar kuasa cas yang sama.
Setelah mencuba fungsi ini, editor mendapati peranti akan cepat panas dan kapasiti cas bateri berada sekitar 40% setelah setengah jam dicas. Untuk mendapatkan cas yang lebih pantas dan mengelakkan peranti dari panas, editor menyarankan anda mematikan peranti dan cas menggunakan plag yang disediakan Samsung.
vi) Kalis Air Skala IP68
Samsung bukan sahaja telah membina peranti yang cantik dan berprestasi tinggi, malah Galaxy S7 Edge juga selamat digunakan di kawasan berair dan berdebu. Peranti ini menerima pengiktirafan kelas IP 68 yang menunjukkan ianya boleh bertahan selama 30 minit pada kedalaman air 1.5 meter.
Apa yang lebih menarik bahagian port peranti ini tidak perlu ditutup ketika ianya direndam atau digunakan ketika di dalam keadaan lembab. Jadi anda tidak perlu risau sekiranya air tertumpah ke dalam port pengecas dan audio jack. Selain itu sekiranya peranti mengesan bahagian port di dalam keadaan lembab, ia secara automatik akan menghentikan operasi port, contohnya anda cuba mengecas peranti yang baru sahaja direndam, sistem peranti akan memberitahu anda bahawa port dalam keadaan basah dan tidak boleh digunakan.
Kamera Terbaik!
Sekarang mari kita lihat kuasa penarik terbesar pada Galaxy S7 Edge yang terletak pada kemampuan optikalnya. Walaupun resolusi megapiksel telah dikurangkan sehingga 12 megapiksel berbanding model terdahulu, anda tidak seharusnya menghakimi tanpa mencuba dahulu kemampuan kamera Galaxy S7 Edge.
Samsung memperkenalkan teknologi Dual Pixel pada model terbaru ini, ia adalah teknologi kamera yang banyak digunakan pada kamera DSLR. Dengan teknologi ini setiap piksel mempunyai dua photodiode berbanding satu yang biasa digunakan pada kamera smartphone. Oleh kerana itu, kamera Galaxy S7 Edge dapat fokus pada imej jauh lebih pantas dan jitu berbanding smartphone lain.Di samping Dual Pixel, Samsung juga melengkapkan sistem kamera Galaxy S7 Edge dengan OIS (Optical Image Stabilization) untuk memberikan kestabilan imej ketika menangkap gambar dan merakam video. Sistem OIS berfungsi dengan bantuan perkakasan khas yang dibina di bahagian kamera yang akan mengekalkan kedudukan lensa ketika peranti sedang bergerak. Prestasi OIS lebih bagus dari DIS (Digital Image Stabilization) yang menggunakan perisian untuk menghasilkan imej yang lebih stabil.



Hasil Gambar



Samsung berjaya membuktikan kamera peranti mereka adalah antara yang terbaik pada setiap keluaran model baru. Tona warna dan butiran imej tampak menonjol dan jelas, di samping itu fungsi autofocus yang pantas membolehkan editor menangkap gambar dengan lebih mudah, ianya sangat penting apabila merakam atau menangkap imej subjek yang sedang bergerak. Kemampuan kamera Galaxy S7 Edge menangkap gambar di dalam keadaan malap sangat mengagumkan, bukaan aperture F1.7 jelas banyak membantu di dalam situasi ini. Secara konklusinya Galaxy S7 Edge mempunyai kamera smartphone terbaik yang ada di pasaran ketika ini.
Sampel Perbandingan
Sepanjang editor menggunakan Galaxy S7 Edge, kualiti gambar yang dihasilkan tidak pernah mengecewakan. Dalam pada masa yang sama editor juga menggunakan iPhone 6S sebagai kamera perbandingan memandangkan siri iPhone 6S merupakan antara kamera smartphone point and shoot terbaik pada tahun lalu.Hasil perbandingan sangat ketara, kualiti gambar yang dihasilkan melalui kamera Galaxy S7 Edge ternyata jauh lebih baik berbanding iPhone 6S. Ini kerana Samsung menggunakan sensor yang lebih besar dan bukaan aperture yang lebih baik (F1.7), lantas membolehkan gambar di dalam kawasan yang mempunyai cahaya malap tampak lebih cerah dan jelas apabila ditangkap menggunakan kamera Galaxy S7 Edge.


Ekstra : Galaxy Butler Service
Sekiranya anda membeli Galaxy S7 Edge, anda bukan sahaja memiliki peranti smartphone terbaik di pasaran pada ketika ini, malah anda juga menikmati servis selepas jualan yang terbaik dari Samsung. Ini kerana Samsung telah memperkenalkan Galaxy Butler Service khas untuk pemilik Galaxy S7 Edge supaya gaya hidup digital anda lebih mudah dan terurus. Terdapat 7 servis yang ditawarkan melalui Galaxy Butler dan berikut adalah deskripsi servis tersebut.
Komen
Bagi editor faktor penarik terbesar Galaxy S7 Edge adalah pada prestasi kamera dan reka bentuknya yang sangat baik. Bagi mereka yang mencari-cari smartphone dengan kamera yang superior berbanding model lain, Galaxy S7 Edge adalah untuk anda. Fungsi autofocus smartphone ini sangat pantas dan tepat, selain itu prestasi tangkapan low–lighting adalah yang terbaik editor pernah cuba pada kamera smartphone. Namun terdapat sedikit kelemahan dari segi perisian seperti Game Launcher, namun itu semua boleh diselesaikan apabila Samsung mengemas kini perisian sistem operasi pada masa akan datang.