

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam ruang legar KLCC sidang editor eRing melihat ramai orang sudah mengerumuni ruang tengah bangunan ikonik itu. Ini kerana pada hari tersebut (17 Mac 2016) merupakan hari bersejarah buat Samsung Malaysia atas pelancaran peranti Android terbaik buat masa kini, Samsung Galaxy S7 Edge. Untuk menambah tarikan pada acara tersebut Samsung telah menerbangkan Lee Kwang Soo (Putera Asia) dari Korea ke Malaysia.
Melalui Galaxy S7 Edge, Samsung berjaya membina peranti padat dengan spesifikasi dan fungsi di dalam reka bentuk yang anggun dan bergaya. Antara fungsi terbaru yang menjadi perhatian adalah teknologi Dual Pixel pada kameranya yang membolehkan Galaxy S7 Edge menukar fokus kamera dengan sangat pantas. Selain itu Samsung juga mengubah sedikit reka bentuk lengkungan badan Galaxy S7 Edge berbanding model terdahulu, ianya lebih selesa dan lebih mencengkam ketika di genggaman. Samsung juga jelas mendengar rungutan pengguna berkenaan model terdahulu dan kini mengembalikan slot MicroSD pada Galaxy S7 Edge yang menyokong sehingga 200 GB stor tambahan.

Samsung memahami kehendak pengguna yang bukan sahaja mahukan peranti terbaik, malah menginginkan gaya hidup digital yang lebih menyeluruh. Oleh itu mereka telah memperkenalkan buat julung kalinya Galaxy Butler. Terdapat beberapa servis yang diletakkan di bawah Galaxy Butler, ianya ditawarkan secara eksklusif kepada pemilik Galaxy S7 Edge. Antara servis yang dimaksudkan adalah, khidmat careline 24 jam, servis pickup dan delivery ke rumah anda, jaminan baik pulih selama sejam dan beberapa servis lain.
Galaxy S7 Edge dijual secara rasmi di Malaysia bermula 18 Mac pada harga RM 3,099 dengan variasi warna Black Onyx, Silver Titanium dan Gold Platinum.
