
Huawei MateBook : Model Terbaru Bagi Peranti 2 Dalam 1
Peranti 2 dalam 1 (komputer dan tablet) sebelum ini diterajui nama besar seperti Apple dan Microsoft melalui produk seperti siri iPad Pro dan Surface Pro. Kini terdapat satu model terbaru yang boleh anda pertimbangkan sekiranya anda ingin membeli peranti dua dalam satu, ia dikenali dengan nama MateBook dan dihasilkan oleh Huawei.
Matebook hadir dengan paparan skrin 12 inci dengan resolusi 2160 x 1440, ia bukanlah resolusi tertinggi di dalam pasaran, namun menurut beberapa pengulas yang mencuba peranti tersebut ketika Mobile World Congress menyatakan gambar dan teks kelihatan sangat tajam dan jelas pada paparan. Menurut Huawei, peranti ini disasarkan kepada golongan profesional dan eksekutif yang mementingkan produktiviti kerja. Oleh sebab itu peranti ini hadir dengan aksesori MatePen yang dapat membantu anda dalam menyiapkan tugasan. MatePen dilengkapi dua butang pada bahagian badannya yang bertindak sebagai kekunci kanan dan kiri tetikus. Selain itu, ia dilengkapi pemancar laser pada bahagian belakang, ia boleh digunakan ketika melakukan pembentangan. MatePen dan aksesori lain seperti papan kekunci dijual secara berasingan.


