
Alphabet X Berharap Project Loon Dapat Mengubah Dunia Teknologi
Adakah anda mengenali syarikat Alphabet? Untuk pengetahuan anda Alphabet merupakan nama yang sangat besar di dalam dunia teknologi, salah satu servis yang dibawakan syarikat tersebut adalah Google.
Di bawah Alphabet terdapat pelbagai divisyen teknologi yang giat menjalankan kajian dan penyelidikan untuk mengembangkan teknologi sedia ada. Salah satu kumpulan penyelidikan elit di bawah syarikat tersebut dikenali sebagai X. Kumpulan tersebut diterajui oleh Astro Teller dan pada sidang TED baru-baru ini beliau berkongsi projek yang sedang dijalankan kumpulan tersebut.
Dikenali sebagai “Project Loon” , kumpulan itu menyasarkan untuk memberikan akses internet kepada jutaan manusia yang hidup di kaawasan pedalaman, sekaligus mengubah lanskap internet yang sebelum ini hanya dinikmati kawasan membangun. Jadi bagaimana caranya mereka mahu mencapai hasrat tersebut?
Project Loon menghasilkan belon udara yang mempunyai akses internet berkelajuan tinggi. Belon itu kemudiannya akan dilepaskan dan dihantar ke kawasan pedalaman untuk menjadi titik akses internet bagi kawasan tersebut. Apabila ditanya mengapa kumpulannya menggunakan belon udara sebagai solusi, beliau menerangkan bahawa sebelum ini terdapat pelbagai usaha dilakukan pelbagai pihak termasuk mereka untuk menghasilkan peranti pusat akses, namun kesemuanya memerlukan kos yang tinggi dan tidak mudah untuk diselenggara. Belon udara merupakan solusi terbaik kerana ianya tahan lama, mudah diselenggara, mudah dikawal dan jimat.
Uji kaji Project Loon yang pertama dilakukan di Sri Lanka dengan bantuan kerajaan negara tersebut dan dijangkakan projek kedua akan dijalankan tidak lama lagi di Indonesia. Belon udara panas tersebut diharapkan dapat memberi impak global dalam masa 5 atau 6 tahun lagi dengan pelbagai usaha dan pelaburan dilakukan bagi menjadikannya realiti.



