
Nampaknya servis hiburan atas talian di Malaysia berada pada landasan yang positif dengan penawaran pakej dan promosi yang menarik. Sebelum ini Telekom Malaysia menawarkan akses iFlix untuk 12 bulan secara percuma kepada pengguna, kini tawaran yang sama diberikan Digi kepada pelanggan mereka.
Tawaran istimewa itu diberikan kepada pelanggan Digi Smartplan 65 dan ke atas, melalui promosi tersebut pelanggan Digi dapat mengakses pelbagai kandungan hiburan selama 12 bulan tanpa mengeluarkan apa-apa bayaran. Jika anda salah seorang pengguna pelan Digi yang terlibat dengan promosi ini, anda tidak perlu melakukan pendaftaran iFlix, sebaliknya akses media hiburan itu akan diberikan serta merta apabila anda melancarkan aplikasi iFlix pada peranti Android atau iOS.
Tetapi awas, anda haruslah berwaspada dengan penggunaan data anda, tip kepada anda adalah lancarkan aplikasi dan aktifkan akaun percuma dengan menggunakan data internet Digi, selepas itu tukarlah kepada sambungan WiFi untuk menonton filem dan rancangan kegemaran anda.

