
Selepas dilancarkan di London pada tahun lepas, akhirnya Honor Malaysia telah membawa masuk secara rasmi peranti boleh pakai atau smartwatch pertama keluarannya iaitu Honor Band Z1 untuk pengguna di negara ini. Juga dikenali sebagai Band Zero untuk pasaran di negara China, Band Z1 menggabungkan fungsi pintar dan juga rekaan yang elegan di dalam kerangka yang kompak. Honor Band Z1 yang dioperasikan oleh sistem operasi yang tersendiri ini menyokong pelbagai fungsi asas seperti menerima notifikasi teks mesej serta panggilan masuk, mengira langkah dan juga memantau kualiti tidur. Lebih menariknya, ia dikatakan menyokong ketahanan bateri yang sangat baik iaitu selama 3 hari dan juga dilengkapi dengan fungsi kalis air.

Sekiranya ada di antara pembaca yang berminat untuk memiliki Honor Band Z1, ia sudahpun mula dijual secara eksklusif melalui laman sesawang rasmi Honor iaitu www.vmall.my bermula penghujung Januari yang lalu. Honor Band Z1 dijual pada harga RM259 dalam tiga warna pilihan tali jam iaitu Black, White dan juga Khaki. Tali jam berwarna Black didatangkan dengan kerangka jam yang diperbuat daripada aluminium hitam, manakala untuk tali jam berwarna White dan Khaki pula tampil dengan kerangka jam yang diperbuat daripada aluminium silver.



