MediaTek Memperkenalkan Dimensity 9500s dan Dimensity 8500 bagi Memacu Prestasi, Permainan dan Kecekapan Tenaga dalam Telefon Pintar Mercu dan Premium

MediaTek hari ini mengumumkan pelancaran Dimensity 9500s dan Dimensity 8500. Sebagai ahli terbaharu dalam keluarga Dimensity, kedua-dua produk ini memberi tumpuan kepada penyampaian prestasi, kecekapan tenaga, AI, pengimejan, permainan serta sambungan tanpa wayar yang dipertingkatkan, sekali gus memacu momentum baharu dalam segmen telefon pintar mercu dan premium.

“Sebagai peneraju dari segi pegangan pasaran global telefon pintar, kami komited untuk terus meningkatkan pelaburan dalam teknologi termaju dan berusaha untuk memastikan inovasi terkini dapat diakses oleh lebih ramai pengguna,” kata JC Hsu, Naib Presiden Kanan Korporat MediaTek dan Pengurus Besar Unit Perniagaan Komunikasi Tanpa Wayar. “Misi ini jelas tercermin melalui dua cipset Dimensity ini, yang direka untuk menawarkan lebih banyak pengalaman telefon pintar mercu dan premium sambil mengekalkan visi kami untuk membawa prestasi terbaik dan kecekapan tenaga kepada lebih ramai orang.” 

Dimensity 9500s: Tenaga yang Tahan Lebih Lama

Dengan penggunaan proses 3nm bertaraf mercu dan seni bina “All Big Core”, MediaTek Dimensity 9500s membolehkan peranti mencapai tahap prestasi tinggi dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap. CPU lapan terasnya terdiri daripada satu teras ultra Cortex-X925 dengan kelajuan sehingga 3.73GHz, tiga teras premium Cortex-X4, serta empat teras prestasi Cortex-A720. 

Dimensity 9500s mengintegrasikan GPU Immortalis-G925, yang menawarkan pengalaman permainan mudah alih berat yang lancar dan imersif, selaras dengan jangkaan prestasi pemain tegar, termasuk sokongan untuk teknologi “ray tracing” termaju. Selain itu, dengan teknologi permainan adaptif 3.0 (MAGT 3.0) dan teknologi kadar bingkai 3.0 (MFRC 3.0), kecekapan tenaga dapat dipertingkatkan dengan ketara, sekali gus memanjangkan jangka hayat bateri peranti. 

NPU flagship dalam Dimensity 9500s dioptimumkan untuk penaakulan generatif dan model berbilang mod, membolehkan keupayaan kamera “edge” mercu yang lebih berkuasa serta penjanaan kandungan yang lebih canggih. Cip ini menyokong fungsi harian berfrekuensi tinggi seperti pasca pemprosesan foto langsung, penyuntingan foto berasaskan AI (“outpainting” imej, pemotongan dan penghapusan objek), serta ringkasan kandungan AI (panggilan, mesyuarat dan fail), memudahkan pengeluar membangunkan peranti yang memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Dimensity 9500s turut dilengkapi dengan pemproses imej MediaTek Imagiq termaju yang menyokong penjejakan pergerakan masa nyata pada 30fps serta rakaman video 8K Dolby Vision HDR fokus penuh. Pencipta kandungan dapat merakam video yang jelas dan hidup dengan mudah. SoC ini juga menyokong teknologi tangkapan pantas dan pengurangan hingar yang cemerlang, memberikan pengalaman yang pantas dan jelas. 

Ciri-ciri Dimensity 9500s termasuk:

  • Modem 5G Release-17 yang menyokong 4CC-CA dan kelajuan muat turun sehingga 7Gbps
  • Sokongan teknologi penjimatan kuasa MediaTek 5G UltraSave 4.0
  • Sokongan AI Network Suite 2.0 yang meningkatkan prestasi rangkaian dalam persekitaran rangkaian lemah
  • Sokongan teknologi MediaTek Xtra Range 3.0 untuk meluaskan jarak sambungan Wi-Fi dalaman
  • Sambungan Bluetooth terus antara telefon ke telefon sehingga jarak 5 kilometer

Dimensity 8500: Prestasi Berkuasa untuk Permainan Pantas

Dimensity 8500 menggunakan proses 4nm yang cekap tenaga, dengan seni bina CPU “All Big Core” yang merangkumi lapan teras Cortex-A725 berkelajuan sehingga 3.4GHz, sekali gus meningkatkan prestasi dan kecekapan tenaga. Dimensity 8500 menyokong teknologi penjadualan tepat serta memori LPDDR5X 9600Mbps berkelajuan tinggi, membolehkan pengguna menikmati pengalaman lancar dan hayat bateri yang panjang untuk aplikasi harian, permainan dan multitugas. 

Dengan GPU Mali-G720 bersepadu, prestasi puncak Dimensity 8500 meningkat sebanyak 25% berbanding generasi sebelumnya, manakala penggunaan kuasa dikurangkan sebanyak 20%. Hasil daripada teras pengkomputeran dan enjin permainan yang dinaik taraf sepenuhnya, Dimensity 8500 menawarkan pengalaman permainan yang lebih segar dengan penstabilan kadar bingkai penuh, pemuatan pantas dan kecekapan tenaga yang tinggi. Selain itu, Dimensity 8500 turut mengaplikasikan teknologi “ray tracing” dalam permainan mudah alih arus perdana, menghasilkan kualiti visual yang lebih realistik dan meningkatkan tahap imersi pemain dengan ketara.

Ciri-ciri Dimensity 8500 termasuk:

  • NPU MediaTek generasi ke-8 yang menyokong “Large Language Model” (LLM/MLLM) arus perdana global serta model penjanaan imej 
  • Sokongan algoritma telefoto ultra-jelas berasaskan AI 
  • Enjin semantik AI Dimensity yang mampu mengoptimumkan bingkai kandungan imej secara pintar

Untuk maklumat lanjut mengenai cipset mudah alih MediaTek Dimensity, sila layari:
https://www.mediatek.com/products/smartphones/dimensity-5g 

You might also like