inDrive Mengesahkan Kelulusan Lesen APAD dan Meraikan Pemandu Terbaik di Anugerah Pemandu Platinum 2025

 Platform mobiliti global, inDrive, mengumumkan bahawa ia telah berjaya melengkapkan proses semakan lesen mandatori selama tiga bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sekaligus mengesahkan kelulusan berterusan untuk beroperasi di Malaysia. Pengumuman ini dibuat bersempena majlis Anugerah Pemandu Platinum 2025, yang mengiktiraf pemandu-pemandu terbaik Malaysia atas dedikasi, kualiti perkhidmatan, serta sumbangan mereka kepada komuniti di Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.

Majlis ini turut menandakan kemuncak Platinum Drivers Giveaway peringkat kebangsaan dengan lebih 150 pemandu cemerlang berhimpun bagi meraikan kejayaan mereka. Acara ini merupakan pengiktirafan pemandu terbesar yang pernah dianjurkan oleh inDrive Malaysia setakat ini.

Pemandu-pemandu terbaik menerima pelbagai hadiah utama termasuk Perodua Bezza 1.3 AV, Honda ADV 160, telefon pintar Samsung Galaxy S25, baucar minyak, serta pakej percutian keluarga. Pemenang tempat pertama tahun ini mencatatkan sebanyak 857 perjalanan sepanjang tempoh kempen sebulan, sekali gus menonjol dalam kalangan ribuan pemandu  aktif di seluruh negara. Kempen ini turut merekodkan purata peningkatan 7% dalam jumlah perjalanan yang diselesaikan, mencerminkan penglibatan pemandu yang tinggi sepanjang cabaran tersebut.

inDrive Terima Pengesahan APAD untuk Terus Beroperasi

Pada majlis yang sama, inDrive secara rasmi mengumumkan bahawa syarikat telah berjaya menamatkan tempoh semakan mandatori APAD, dan menerima pengesahan rasmi untuk meneruskan operasi di Malaysia. inDrive menegaskan komitmen berterusan mereka dalam mematuhi semua keperluan operasi dan peraturan tempatan, termasuk penambahbaikan proses dalaman, pengurusan dokumentasi yang lebih kukuh, serta kerjasama konstruktif dengan pihak berkuasa bagi memastikan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai.

Azlan Anwar, Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia berkata, “Kami amat berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan APAD atas kepercayaan yang diberikan kepada inDrive  untuk terus beroperasi di Malaysia. Keyakinan ini membolehkan kami terus menyokong ribuan pemandu yang bergantung kepada platform kami sebagai sumber pendapatan yang mampan. Dengan salah satu struktur komisen terendah dalam industri, kami kekal komited untuk membantu pemandu menjana pendapatan yang lebih baik, menyara keluarga, serta memperkukuh kesejahteraan hidup mereka. Pematuhan peraturan dan kestabilan jangka panjang akan terus menjadi keutamaan kami dalam bekerjasama dengan komuniti di Malaysia.”

Pelaburan Berterusan dalam Pemandu dan Akses Mobiliti

Berikutan kelulusan ini, inDrive akan terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia melalui proses pendaftaran pemandu yang lebih baik, semakan dokumen secara berkala, audit dalaman berterusan, serta inisiatif sokongan pemandu. Syarikat ini kekal komited terhadap mobiliti inklusif, pengalaman perjalanan yang selamat, serta pelaburan jangka panjang dalam komuniti tempatan melalui inisiatif seperti inDrive Academy dan program berfokuskan aksesibiliti.

Seiring penyertaan yang memberangsangkan dan momentum positif, Platinum Drivers Giveaway dijadualkan kembali pada separuh pertama tahun 2026, dengan kategori ganjaran yang diperluas dan inisiatif penglibatan yang lebih menarik bagi terus memotivasi dan memperkasakan pemandu.

Azlan turut menambah “Pemandu kami merupakan nadi kepada platform kami. Ketabahan, profesionalisme, dan komitmen mereka  memberi inspirasi kepada kami setiap hari. Kami sangat menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan terus melabur dalam program yang mengiktiraf usaha sebenar dan membuka peluang untuk semua. Bersama-sama, kami berhasrat membina ekosistem e-hailing yang lebih adil, telus, dan lestari untuk Malaysia.”

Dengan terus memperjuangkan nilai keadilan, ketelusan, dan peluang yang saksama untuk pemandu, inDrive menegaskan komitmen jangka panjangnya dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih inklusif dan mudah diakses oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.

You might also like