Penduduk Jepun Boleh Menerima Amaran Gempa Bumi Dan Tsunami Terus Melalui Peranti Android 8.1 Oreo

  Setiap kali berlakunya bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami, ia bukan setakat melibatkan kerosakan harta benda yang teruk tetapi apa yang paling menyedihkan adalah berita mengenai mangsa yang terkorban. Memandangkan Jepun merupakan antara negara yang berisiko berhadapan dengan dua bencana alam ini, Persatuan Pembekal Telekomunikasi di negara itu telah mengumumkan bahawa pemilik peranti Android 8.1 Oreo di negara itu mampu menerima amaran kecemasan terus melalui peranti mereka.Pendekatan ini dilihat lebih efisien sebagai satu sistem standard untuk menyebarkan amaran kecemasan memandangkan ia tidak memerlukan sebarang aplikasi dari telco. Dengan standard 3GPP yang digunakan pada Sistem Amaran Gempa Bumi dan Tsunami (ETWS) , agensi berkaitan (meteorologi dan sebagainya) boleh terus menghantar amaran awal bencana dengan menggunakan kod ringkas seperti ‘gempa bumi’ ataupun ‘tsunami’ ke telefon pintar yang dioperasikan dengan Android 8.1 Oreo. Pemilik peranti akan menerima notifikasi amaran awal itu lebih kurang empat saat selepas ianya dihantar.

Malah pihak pembekal rangkaian telekomunikasi juga berupaya menghantar notifikasi kedua kepada pengguna dengan maklumat yang lebih terperinci berkaitan bencana secara percuma. Lebih menariknya, maklumat yang disampaikan ini juga tidak terhad untuk bencana alam sahaja kerana ia boleh merangkumi amaran lain seperti serangan peluru berpandu dan juga aktiviti pengganas.

Sistem ini merupakan standard yang dipraktikkan oleh tiga pembekal rangkaian telekomunikasi utama di Jepun iaitu NTT DOCOMO, KDDI Corporation, dan juga SoftBank Group Corporation.

You might also like