
[Tertiris] Sharp FS8015 Bakal Tampil Dengan Paparan 5.99″ FHD+
Penggunaan paparan skrin hampir penuh dilihat telah menjadi satu trend baru pengeluar telefon pintar yang semakin popular pada penghujung tahun 2017. Jadi tidak mustahil sekiranya penggunaan paparan sebegini akan menjadi satu ciri asas yang akan diperkenalkan pada lebih banyak peranti menjelang tahun 2018 nanti.
Baru-baru ini Sharp juga dikatakan akan turut menampilkan peranti dengan sokongan paparan skrin hampir penuh sebesar 5.99 inci beresolusi FHD+ atau 2160 x 1080 piksel. Berdasarkan kepada maklumat yang berjaya didedahkan melalui laman sesawang rasmi TENAA, Sharp FS8015 ini juga bakal dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo, dikuasakan dengan pemproses MediaTek MT6795 Helio X10, dan ditawarkan dalam dua pilihan variasi berbeza iaitu 64GB + RAM 4GB ataupun 128GB + RAM 6GB.
Selain itu, ia juga menyokong dwi lensa beresolusi 13 + 12 Megapiksel untuk kamera utama, dan satu lensa swafoto beresolusi 16 Megapiksel. Manakala kuasa baterinya pula adalah sebesar 3100 mAh.





