MWC 2017: Moto G5 Dan G5 Plus Dijadualkan Hadir Ke Pasaran Mac Ini

Seperti yang dijanjikan, Lenovo telah memperkenalkan model terbaru bagi barisan smartphone Moto mereka iaitu Moto G5 dan G5 Plus. Kedua-dua telefon pintar ini dilengkapi dengan pengimbas cap jari pada panel hadapan. Apa yang istimewa pada model ini adalah ianya dilengkapi Google Assistant, ciri yang ketika ini eksklusif pada model Google Pixel. Selain itu, G5 dan G5 Plus juga dilengkapi fungsi dan ciri yang sinonim dengan jenama Moto seperti Moto Display, Actions, Twist Gestures dan One Button Nav.

Panel belakang Moto G5

Moto G5 mempunyai paparan 5 inci dengan resolusi Full HD 1080 x 1920 piksel dan dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 430 1.4GHz. Moto G5 dilengkapi bateri boleh alih berkapasiti 2800mAh dengan sokongan pengecasan pantas. Bagi fungsi optik pula, Moto G5 dilengkapi kamera belakang 13 megapiksel dengan PDAF, f/2.0 aperture, dua LED flash dan kamera hadapan sudut lebar 5 megapiksel.

Beralih pula ke Moto G5 Plus, telefon pintar ini mempunyai skrin Full HD 5.2-inci 1080 x 1920 piksel. Ia dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 625 Octa-core 2.0GHz. Moto G5 Plus mempunyai kamera 12 megapiksel fungsi dua autofocus, rakaman video 4K, f/1.7 aperture dan dua LED flash. Moto G5 Plus dikuasakan bateri 3000mAh yang tidak boleh ditanggalkan dan menyokong teknologi pengecasan Turbopower yang memberikan anda enam jam jangka hayat bateri dalam masa 15 minit cas.

Panel belakang Moto G5 Plus

Moto G5 dan Moto G5 Plus akan mula dijual pada bulan Mac di negara Amerika Latin, Eropah, Asia Pasifik dan Amerika Utara. Moto G5 dengan spesifikasi 2GB RAM / 16GB ROM akan dijual pada harga €199 (kira-kira RM935.79), manakala Moto G5 Plus dengan spesifikasi 2GB RAM / 32GB ROM pada harga USD229 (kira-kira RM1017.45) dan variasi 3GB RAM / 32GB ROM pada harga USD279 (kira-kira RM1239.60).

You might also like