[PREVIEW] Honor 6X, Peranti Kelas Pertengahan Dengan Kamera Dwi-Lensa

Honor 6X baru sahaja diumumkan pada 17 Februari lalu, dan kami sempat meluangkan sedikit masa mencuba peranti ini di pejabat mereka. Ayuh ikuti kami kenal-kenal dahulu peranti kelas pertengahan ini yang mempunyai ciri kamera dwi-lensa yang diidamkan ramai pengguna. Kita akan melihat peranti ini dari sudut fizikal, spesifikasi dan juga ciri utamanya, kamera dwi-lensa. Jom!


REKA BENTUK & FIZIKAL

Reka bentuk bukanlah kekuatan utama Honor dan ini diterjemahkan kepada model 6X dengan reka bentuk yang sudah biasa dilihat. Namun Honor mengukuhkan nama mereka sebagai sebuah jenama yang mampu memberikan kualiti binaan yang baik pada harga yang tidak melampau. Honor 6X dibina menggunakan kerangka dan panel besi yang secara keseluruhannya memberikan rasa solid ketika dipegang.

Berlainan pula ceritanya pada bahagian skrin, menurut ujian yang dijalankan seorang YouTuber di dalam videonya, panel paparan 6X mudah calar dan saranan beliau kepada pemilik peranti ini agar tidak mencabut pelindung skrin yang hadir bersama-sama peranti ini ataupun mendapatkan tempered glass yang mempunyai ketahanan yang lebih baik. Selain kelemahan pada panel skrin, bahagian belakang peranti ini juga mempunyai dua bahagian yang diperbuat daripada plastik. Bar atas dan bawah panel belakang ini diperbuat daripada bahan bukan besi bagi memberikan prestasi selular yang maksimum.


SPESIFIKASI

Apa yang menjadikan 6X menarik adalah cip pemproses Kirin 655 chipset, menjadikan 6X antara peranti kelas pertengahan yang mempunyai kuasa pemprosesan terbaik. Cip Kirin 655 dibantu 3GB RAM, 32GB ROM dan bateri 3340 mAh.

Kapasiti bateri 3,340 mAh mampu memberikan peranti ini bekalan kuasa melebihi satu hari kerana Kirin 655 bukan sahaja hebat dari pemprosesan kerja, malah ia menggunakan kuasa yang sangat minimal. Menurut Huawei, satu kitaran penuh bateri ini mampu bertahan dari 1.5 hari (penggunaan berat) sehinggalah 2.15 hari.

Dimensi & Berat 150.9 x 76.2 x 8.2mm & 162g
Paparan 5.5 inci, 1920 x 1080p, 403ppi
Sistem Operasi Huawei EMUI 4.1
(dengan rancangan kemas kini EMUI 5 pada suku tahun ke 2)
Pemproses Huawei Kirin 655, Octa-core
Memori 3GB RAM + 32GB ROM / 4GB RAM + 64GB ROM
Kamera Utama: 12MP + 2MP, f/0.95
Hadapan: 8MP
Sambungan MicroUSB, Audio Jack 3.5mm
Wi-FI 802.11b/g/n, Bluetooth 4.1, GPS
Bateri 3440mAh
Warna Gray / Gold

 


CIRI UTAMA

Setup kamera dwi-lensa merupakan ciri utama yang diketengahkan pada model Honor 6X. Penawaran ciri ini membolehkan pengguna mendapatkan kamera yang dilengkapi ciri terkini pada harga yang lebih murah. Sebagai perbandingan, smartphone lain dengan setup kamera dwi-lensa seperti Huawei P9 dijual pada harga RM 2,099, Honor 8 pula RM 1,899 dan iPhone 7 Plus mencecah harga RM 3,799.

Jadi mengapa harga Honor 8 dan Honor 6X jauh berbeza? Mengikut perbandingan kami ini, mungkin kerana spesifikasi lensa yang ada pada kedua-dua kamera. Honor 6X menggunakan lensa 12MP dan 2MP, manakala Honor 8 pula menggunakan lensa 12MP RGB bersama lensa 12MP hitam & putih. Jadi Honor 6X menggunakan sistem yang sedikit lebih rendah.

Honor 6X juga dibantu laser autofocus dan LED dual tone flash seperti terdapat pada Honor 8. Sebaliknya ia menggunakan sistem fokus PDAF yang biasa digunakan pada majoriti smartphone. Adakah kerendahan spesifikasi ini akan mengganggu kualiti gambar pada Honor 6X atau pun pengurangan ini berbaloi dan masih mampu menghasilkan gambar yang bagus? Ayuh kita lihat contoh gambar.

Kedua-dua gambar ini diambil pada satu shot yang sama dan kemudiannya boleh diubah titik fokus kerana sistem dwi-lensa telah diaktifkan semasa mengambil gambar ini. Kualiti yang dihasilkan agak baik, namun tidak sempurna. Anda dapat lihat efek kabur sedikit tercemar ke bahagian yang sepatutnya difokus dan ini sebenarnya masalah biasa yang ada pada kamera dwi-lensa yang ada pada smartphone masa kini.

Butiran tangkai tomato dipelihara dengan baik. Kita dapat melihat dengan jelas tekstur yang ada pada bahagian ini, jelas menunjukkan kamera pada Honor 6X tidak mengecewakan dan mampu menghasilkan gambar yang bagus.


HARGA

Berikut adalah harga jualan bagi Honor 6X mengikut dua variasi spesifikasi yang ditawarkan:

Honor 6X Harga
3GB RAM + 32GB ROM RM 1,199
4GB RAM + 64GB ROM RM 1,399

 

You might also like