iQIYI Berganding Bahu Dengan foodpanda Hasilkan Drama Original Pertama Tempatan, Sorry Naik Lori

iQIYI International hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan foodpanda bagi menghasilkan drama Original Malaysia pertama, Sorry Naik Lori. Kerjasama ini membuktikan pencapaian penting kepada iQIYI kerana ia merupakan kerjasama bersepadu pertama platform penstriman video atas permintaan ini dalam sebuah drama di Malaysia.

Kolaborasi diantara iQIYI dan foodpanda adalah satu usaha dalam mengintegrasikan penjenamaan platform penghantaran makanan dalam talian menerusi Sorry Naik Lori dimana jenama itu akan ditampilkan dengan lebih sempurna dalam bentuk watak sokongan penghantar perkhidmatan (delivery rider) foodpanda. Menerusi pendedahan sampingan jenama berkenaan, penonton juga akan disajikan dengan pengetahuan tentang perkhidmatan yang lebih mendalam dan tawaran terkini foodpanda menerusi drama yang akan diadaptasi dalam pelbagai babak yang menyokong jalan cerita drama ini.

Penghasilan drama Sorry Naik Lori adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan iQIYI untuk terus menyumbang ke arah ekosistem kandungan hiburan tempatan yang lebih mantap, hasil nukilan kreatif rakyat Malaysia. Menerusi kerjasama dengan syarikat produksi tempatan, iQIYI mempamerkan karya terbaik Malaysia yang bakal menjangkau pasaran global. Ia sekaligus akan memberi peluang dan pendedahan kepada bakat dan pencipta kandungan, selain turut menyokong jenama, pengiklan dan pemasaran tempatan.

Bagi meraikan permulaan penghasilan karya Original Malaysia pertama, iQIYI juga telah mengadakan “iQIYI Catwalk Challenge” di platform media sosial Tiktok. Pertandingan itu mencari 5 (lima) pemenang bertuah yang bakal membuat penampilan istimewa dalam penggambaran Sorry Naik Lori, di samping memenangi ganjaran tunai bernilai RM500. Mereka juga akan diberi peluang untuk tampil berlakon bersama Nazim Othman, Ruhainies, Nafiz Muaz, Sheila Mambo dan ramai lagi dalam satu adegan pertunjukan fesyen.

Selain memberi ganjaran kepada peminat, iQIYI juga menganjurkan sesi lawatan eksklusif kepada peminat dan menjemput pemegang pas VIP iQIYI yang bertuah untuk melawat set penggambaran serta menonton babak pertunjukan fesyen pada 21 Jun 2022. Mereka juga diberi peluang mendekati dan beramah mesra dengan bintang kegemaran mereka.

Hasil kolaborasi dengan syarikat produksi tempatan terkenal Tsar Asia, Sorry Naik Lori memaparkan gaya hidup moden pasangan menerusi plot drama dan komedi. Ia memaparkan kehidupan Khairul sebagai seorang pemandu lori muda yang tinggal di Pulau Pinang bersama isterinya, Nadia yang merupakan seorang suri rumah. Nadia memiliki impian menjadi ‘influencer’ media sosial. Pada suatu hari, hantaran media sosial secara rawak dalam NikNok mengenai dirinya di restoran menjadi tular dan membuatkan dia menjadi terkenal. Tidak lama kemudian, beliau mendapat tawaran daripada agensi pencari bakat. Sementara itu, keazaman Khairul untuk mencari pendapatan tambahan mendapat tentangan daripada pembuli di tempat kerjanya. Kejadian ini menyebabkan Khairul rasa tidak selamat dan hubungan mereka menjadi renggang. Dengan barisan pelakon yang terdiri daripada Nazim Othman, Ruhainies, Tajul, Nafiz Muaz, Sheila Mambo, Asha Zainul dan Ahmad Saffuan, Sorry Naik Lori akan membuat penonton terpikat dengan kepelbagaian jalan cerita dan pembangunan karakter. Penggambaran drama di pelbagai lokasi di seluruh negara turut menyaksikan peminat di negeri berbeza akan dapat merasai kepelbagaian budaya tempatan yang dipaparkan dalam pembikinan drama tersebut.

You might also like