Pilihan pembayaran ‘Pay When You Fly’ Yang Baru – Galakkan Rakyat Malaysia Merancang Untuk Pergi Melancong !!

Jumlah pembatalan penerbangan yang tinggi semasa pandemik telah menimbulkan kesulitan seperti perlu membuat pembayaran balik kepada mereka yang ingin mengembara, di mana sesetengah proses tersebut memakan masa selama beberapa bulan. Bagi memastikan aliran tunai tidak terganggu, syarikat pelancongan menawarkan baucar untuk penerbangan di masa depan, namun memandangkan tiada tarikh yang jelas bila kerajaan akan menarik balik sekatan penerbangan, para pengembara tidak pasti bila mereka boleh menebus baucar tersebut.


Hasil kajian global terbaru oleh Amadeus menunjukkan bahawa ‘ketidaktentuan pembayaran balik’ tersebut memberi impak ke atas keyakinan para pengembara dan telah menjejaskan tempahan semasa 2021, ketika industri pelancongan sedang dalam proses pemulihan. Lebih daripada separuh pengembara Malaysia (68%) mengesahkan bahawa risiko pembatalan yang semakin meningkat akibat pandemik telah menghalang mereka untuk menempah penerbangan pada tahun ini. Ianya diikuti dengan ketidaktentuan proses pembayaran balik (51%), kesukaran untuk mengubah tarikh serta masa tempahan penerbangan (48%) dan proses pembayaran balik yang rumit (47%) menjadi kebimbangan utama apabila sesebuah penerbangan dibatalkan.


Beberapa syarikat penerbangan telah mengambil langkah proaktif bagi mengatasi ketidaktentuan pembayaran balik menerusi pilihan pembayaran baru yang lebih inovatif. Di seluruh dunia, sebuah syarikat penerbangan utama Eropah telah menerajui pilihan pembayaran ‘Pay When You Fly’ (PWYF), membolehkan para pengembara membuat tempahan penerbangan (termasuk juga hotel atau kereta sewa) dengan membayar jumlah deposit kecil, sekitar 15% dan kemudian menyelesaikan bakinya beberapa minggu sebelum tarikh penerbangan.

Selain daripada dapat mengatasi masalah ketidaktentuan pembayaran balik, PWYF berupaya melonjakkan lagi pendapatan industri dengan menggalakkan para pengembara Malaysia untuk berbelanja 61% lebih banyak bagi setiap perjalanan secara purata, dan 56% pengembara Malaysia lebih cenderung untuk menambah perkhidmatan tambahan seperti makanan dan bagasi, jika syarikat penerbangan menawarkan PWYF.

You might also like