
Tencent, menerusi Kumpulan Studio TiMi (TiMi) dan Tencent Institute of Games, hari ini mengumumkan bahawa Tencent menganjurkan Green Game Jam for Youth, iaitu suatu pertandingan secara dalam talian global yang
diinspirasikan oleh Green Game Jam yang lebih meluas, anjuran oleh inisiatif yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), iaitu Playing for the Planet Alliance.

Green Game Jam for Youth menyasarkan pelajar universiti, sekali gus mencabar mereka untuk mencipta permainan dengan elemen atau tema yang berfokuskan alam sekitar. Pertandingan peringkat belia ini juga membawa bersama nama-nama terbesar dalam permainan video merentas mudah alih, konsol dan komputer (PC) untuk
mendidik dan memperkasakan berjuta-juta pemain supaya bertindak demi alam sekitar.
Permainan digital mempunyai kuasa untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan berbilion manusia di seluruh dunia tentang pemuliharaan alam sekitar dan pemulihan (restoration). Permainan juga boleh mendidik tindakan dan penyelesaian yang diperlukan untuk memperkukuh tindak balas kita terhadap ancaman perubahan iklim.
Untuk mencapai maksud tersebut, Tencent kini bekerjasama dengan beberapa universiti di Asia Tenggara bagi menggalakkan pelajar mereka menyertai Green Game Jam for Youth dan mempromosikan penyelesaian alam sekitar yang diperlukan bagi menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik untuk didiami. Universiti yang mengambil bahagian termasuk Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik di Malaysia, Universiti Nasional Singapura, Universiti Teknologi Nanyang dan Institut Teknologi DigiPen Singapura, Universiti Bangkok, Universiti Dhurakij Pundit dan Universiti Mahidol di Thailand, Universitas Indonesia dan Institut Teknologi Bandung di Indonesia, dan lain-lain lagi yang akan turut mengambil bahagian.
Pertandingan peringkat belia menyasarkan interaksi dengan pelajar di lebih 300 universiti di seluruh China, Amerika Utara dan Asia Tenggara. Para peserta dalam cabaran belia akan menerima bimbingan mengenai pembangunan permainan dan penggunaan strategi yang berkesan untuk menggalakkan tanggungjawab kepada alam sekitar menerusi webinar dan kursus dalam talian yang dilaksanakan oleh Tencent Institute of Games dan para pembimbing lain dalam industri permainan digital.
Para pemenang akan menerima anugerah dan hadiah wang tunai, termasuk AS$10,000 untuk “Emas,” AS$3,000 untuk “Perak,” AS$1,000 untuk “Gangsa” dan hadiah AS$500 “Kehormat” bagi pemenang tempat keempat. Keputusan pertandingan akan dikongsikan dengan seluruh dunia pada bulan November semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kali ke-26 (COP26)” di Glasgow, Scotland, UK.
Pertandingan kini dibuka untuk penyertaan menerusi laman sesawang TiMi di https://www.timistudios.com/green-game-jam-for-youth/, sehingga 30 Julai.