Celcom Jalin Kerjasama Dengan Allo Bagi Perluas Perkhidmatan Kesalinghubungan Kediaman

Celcom Axiata Berhad (Celcom) melalui beberapa subsidiarinya, menandatangani perjanjian akses dengan Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo), yang merupakan subsidiari milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan konvergen kepada lebih banyak kediaman dan premis perniagaan di negara ini.  

Sejajar dengan seruan Kerajaan untuk jalinan kerjasama antara pemain industri bagi menyediakan kesalinghubungan internet berkelajuan tinggi di seluruh negara, kerjasama antara Celcom dan Allo ini membolehkan kedua-dua organisasi ini memperluaskan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) ke lebih banyak kawasan di Semenanjung Malaysia. Celcom juga bakal memperluaskan liputan perkhidmatan Celcom Home Fibre™ kepada lebih banyak isi rumah melalui infrastruktur rangkaian HSBB dan kepakaran yang disediakan oleh Allo.

Kerjasama ini juga membolehkan Celcom meluaskan pasarannya dengan serta-merta kepada 80, 000 kediaman di beberapa kawasan dalam Melaka, Perak dan Cyberjaya. Jumlah ini akan bertambah dalam tahun 2021, di mana lebih banyak premis akan dapat menikmati perkhidmatan kesalinghubungan jalur lebar Celcom, apabila Allo memperluaskan infrastruktur tersebut ke negeri lain seperti Selangor, Kedah, Johor, Penang dan Negeri Sembilan meliputi kira-kira 150, 000 kediaman.

Selain itu, infrastruktur fiber Allo juga membolehkan Celcom memperluaskan perkhidmatan kesalinghubungan kepada segmen lain termasuk tawaran komersial kepada perusahaan. Jalinan kerjasama ini turut menyokong matlamat Celcom dalam menyediakan pengalaman digital terbaik kepada lebih ramai pengguna, selari dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menyasarkan peluasan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, serta memenuhi komitmen Celcom untuk kesalinghubungan digital berkualiti ke setiap pelusuk negara. 

Sebagai sebahagian daripada program permulaan, Celcom dan Allo akan menyediakan kesalinghubungan percuma ke beberapa kediaman terpilih di negeri Melaka. Ia melibatkan beberapa keluarga di kawasan termasuk Felda Kemendor di Jasin, Melaka, bagi membolehkan mereka menikmati perkhidmatan kesalinghubungan percuma selama enam bulan dan membantu isi rumah yang bekerja atau belajar dari rumah. 

You might also like