
Pelancaran Telefon Nokia Yang Terbesar Merungkai Portfolio Baharu Yang Bakal Menambat Hati Pengguna
HMD Global, pengeluar telefon bimbit dan aksesori Nokia, pada hari ini akan membuat pelancarannya yang terbesar setakat ini dengan menampilkan enam telefon pintar yang baharu – Nokia X20, Nokia X10, Nokia G20, Nokia G10, Nokia C20 dan Nokia C10 – dibahagikan kepada tiga kumpulan yang berbeza.

Kesemua peranti dalam kumpulan teratas Nokia X-series, kumpulan pertengahan G-series, dan kumpulan asas C-series menawarkan pengalaman kepenggunaan yang berkualiti seperti yang boleh dijangkakan daripada syarikat mudah alih dari Eropah ini; produk yang dirumus untuk bertahan lama dari sudut dalaman dan luaran ekoran pemanfaatan sekuriti bertaraf tinggi serta kualiti binaan, dan jaminan untuk menyediakan perisian yang terkini agar anda boleh menggunakan telefon bimbit anda untuk jangka waktu yang lebih lama.
X-series dilancarkan bersama Nokia X20 dan Nokia X10
Menduduki di tampuk portfolio baharu ini ialah Nokia X20 dan Nokia X10. Ia mencabar batasan kelas pertengahan, telefon pintar ini membekalkan pengalaman dan kualiti yang melangkaui harganya. Kedua-dua telefon pintar dikuasakan oleh Qualcomm® Snapdragon™ 480 5G Mobile Platform yang terbaharu, ia menawarkan prestasi luar biasa dan keupayaan 5G bertaraf global yang sebenar. Reka bentuk Nordik yang sinonim dengan telefon pintar Nokia digandingkan dengan pengemaskinian sekuriti dan perisian bertempoh tiga tahun agar pengguna boleh berlapang dada. Dipersembahkan melalui antara muka (interface) AndroidTM yang serba rapi, peranti ini hadir dengan Android 11. ZEISS Optics dan solusi AI yang inovatif memberi nafas kepada keupayaan pengimejan yang versatil. Berbekalkan paparan ‘punch-hole’ Full HD+ 6.67”, konten dapat dibekalkan melalui skrin yang jelas dan menawan. Nokia X20 dan Nokia X10 juga didatangkan dengan kelongsong yang mampu dikompos sepenuhnya – memiliki daya tahan yang tinggi, namun masih bersifat mesra alam, serta membantu X-series untuk melangkau lebih jauh.
Nokia X20 hadir dengan kamera hadapan 32MP serta kamera kuad 64MP di belakang. Ciri Dual Sight yang baharu akan mengaktifkan dua unit kamera secara serentak untuk membolehkan anda merakam dari pelbagai sisi. Ia juga diperkayakan dengan aneka opsyen peneraan air (watermarking).
Menyuntik nilai yang tinggi ke dalam sirinya, Nokia X10 akan memuaskan hati pengguna yang mempunyai bajet bawah €300. Kamera kuad 48MP dengan fungsi rakaman Cinematic, disempurnakan dengan alat-alat penyuntingan yang serba lengkap, agar anda dapat memperibadikan, mencantikkan dan berkongsi konten yang mampu mencetus inspirasi.
G-series dilancarkan bersama Nokia G20 dan Nokia G10
G-series mempersembahkan keseimbangan yang sempurna dalam memenuhi keperluan harian anda menerusi teknologi yang dirumus untuk menyelesaikan masalah. Ditampilkan oleh kedua-dua telefon dalam siri tersebut ialah hayat bateri bertempoh tiga hari – iaitu yang paling lama bagi telefon pintar Nokia. Nokia G20 didukung oleh janji Android yang disediakan bagi telefon pintar Nokia. Ia merupakan pengemaskinian sekuriti bulanan selama tiga tahun untuk memastikan data anda dilindungi, termasuk pengemaskinian Sistem Operasi bertempoh dua tahun. Dua ahli yang pertama menyertai G-series dengan jangka hayat signatur, ditambah baik dengan keupayaan sekuriti melalui pemanfaatan akses wajah dan cap jari di sisi, serta paparan ‘teardrop’ bersaiz 6.5” dengan fungsi pelaras kecerahan yang serba mudah.
Nokia G20 boleh dianggap sebagai studio kreatif bergerak yang dapat dimuatkan dalam tangan anda. Berbekalkan kamera 48MP yang menawan, ruang storan yang besar serta audio keliling OZO, anda dapat merakam dan mengamati detik-detik yang bermakna dengan sepuas hati.
Nokia G10 membawakan tiga unit kamera di belakang serta ciri pengimejan canggih dengan mod-mod AI yang diperkayakan, agar anda dapat merakam detik yang diinginkan dengan sempurna, meskipun dalam kondisi cahaya berintensiti rendah.
C-series menambah ahli baharu: Nokia C20 dan Nokia C10
Hadir dengan nilai yang hebat, C-series memperkenalkan teknologi telefon pintar berkualiti tinggi yang dapat diakses oleh semua golongan. Penambahan yang baharu dalam siri ini mempersembahkan ciri-ciri kegemaran ramai seperti paparan HD+ lebar 6.5”, Android 11TM (Go edition) (menambah kelajuan yang mencecah 20% lebih tinggi), fungsi-fungsi sekuriti yang ditambah baik, serta daya tahan telefon pintar Nokia dengan bekalan pengemaskinian sekuriti setiap suku tahun selama dua tahun pada harga yang sangat menarik.
Nokia C20 merupakan telefon pintar bernilai tinggi yang hadir dengan ciri-ciri hebat seperti denyar LED hadapan dan belakang untuk merakam detik-detik yang bermakna dalam hidup anda walaupun dalam kondisi cahaya berintensiti rendah.
Nokia C10 merupakan peranti yang paling mampu dimiliki dalam portfolio baharu tersebut. Dengan kualiti binaan yang lebih unggul serta reka bentuk Nordik yang kemas, ia menjadi ahli portfolio tersebut selepas menjalani ujian yang ketat. Kelongsong yang bersifat ergonomik dengan kemasan bertekstur mikro akan memastikan peranti ini memiliki ketahanan untuk digunakan dalam jangka waktu yang amat panjang.
Kejayaan HMD Connect menjadi batu loncatan HMD Mobile
Memperkenalkan rangkaian mudah alih yang baharu daripada HMD Global, iaitu HMD Mobile yang menawarkan produk yang ringkas dan bernilai tinggi kepada para pelanggan mudah alih. Ia memasuki pasarannya yang pertama sebagai operator rangkaian virtual mudah alih persendirian (MVNO), dan HMD Mobile menyusuli kejayaan solusi perayauan global jenama tersebut, HMD Connect yang dilancarkan pada bulan Mac 2020. Perkhidmatan baharu ini bakal dilancarkan di United Kingdom pada bulan ini, dengan rancangan untuk memperkenalkannya di peringkat global secara beransur-ansur.
Barisan produk aksesori audio Nokia diluaskan lagi dengan Nokia Lite Earbuds
Hadir dengan fungsi kawalan sentuhan yang ringkas untuk muzik, bantuan suara dan panggilan, Nokia Lite Earbuds bakal menemui pengguna di pasaran global pada hari ini. Turut mencerminkan reka bentuk serba premium dan hayat bateri yang luar biasa seperti telefon pintar Nokia, bekas bersaiz poketnya mampu membekalkan kira-kira enam kitaran caj tambahan bagi peranti fon telinga ini. Tempoh operasinya bersamaan dengan 36 jam, iaitu hampir dua kali ganda berbanding standard dalam industrinya.
Harga dan ketersediaan
- Nokia X20 bakal ditawarkan dalam pasaran global yang terpilih mulai Mei dalam pilihan warna Midnight Sun dan Nordic Blue serta hadir dengan konfigurasi 6/128GB dan 8/128GB.
- Nokia X10 bakal ditawarkan dalam pasaran global yang terpilih mulai Jun dalam pilihan warna Forest dan Snow serta hadir dengan konfigurasi 6/64GB, 6/128 GB dan 4/128GB.
- Nokia G20 bakal ditawarkan dalam pasaran global yang terpilih mulai Mei dalam pilihan warna Night dan Glacier serta hadir dengan konfigurasi 4/64GB dan 4/128GB.
- Nokia G10 bakal ditawarkan dalam pasaran global yang terpilih mulai lewat April dalam pilihan warna Night dan Dusk serta hadir dengan konfigurasi 3/32GB dan 4/64GB.
- Nokia C20 bakal ditawarkan dalam pasaran global yang terpilih mulai Jun dalam pilihan warna Sand dan Dark Blue serta hadir dengan konfigurasi 1/16GB dan 2/32GB. Semak ketersediaannya di negara anda.
- Nokia C10 bakal ditawarkan dalam pilihan warna Light Purple dan Grey serta hadir dengan konfigurasi 1/16GB, 1/32GB dan 2/16GB.
- Nokia Lite Earbuds (BH205) akan ditawarkan dalam pilihan warna Polar Sea dan Charcoal. Semak ketersediaannya di negara anda.
- HMD Mobile akan dilancarkan di UK lewat April ini, berbekalkan rancangan untuk menyusulinya dengan pelancaran global. Tersedia untuk dibeli terus dari Nokia.com/phones.
Ketersediaan di peringkat tempatan dan harga akan diumumkan kelak. Ikuti perkembangan di laman Facebook Nokia Mobile Malaysia atau daftar masuk untuk menerima notifikasi mengenai berita dan tawaran yang terkini di https://www.nokia.com/phones/en_my.

