Fave, Syarikat Permulaan Teknologi Yang Berkembang Pesat Di Asia Tenggara Diambil Alih Oleh Pine Labs

Fave, platform teknologi kewangan pengguna yang berkembang pesat di Asia Tenggara, telah diambil alih oleh Pine Labs, salah satu platform perdagangan saudagar terkemuka di Asia menerusi satu perjanjian bernilai lebih USD45 juta (SGD60 juta / RM185 juta) hari ini. Fave telah membolehkan 6 juta pengguna di Asia Tenggara menjimatkan lebih USD400 juta di 40,000 peruncit sejak 2016. Pengambilalihan ini akan membolehkan pengguna di India menggunakan aplikasi Fave pada hujung tahun ini untuk menikmati penjimatan di rangkaian terdiri daripada 500,000 saudagar yang disokong oleh Pine Labs di 3,700 bandar negara berkenaan.

Pengambilalihan ini akan membantu kedua-dua syarikat merancakkan pertumbuhan masing-masing di rantau Asia dan meneroka potensi pengguna yang besar menerusi pasaran runcit, makanan & minuman (F&B), fesyen, dan barang pengguna cepat laris (FMCG). Sehubungan itu, gandingan dengan Pine Labs akan mengukuhkan lagi kedudukan Fave di pasaran Asia Tenggara.

Peranan pihak pengasas Fave akan berkembang untuk memimpin keseluruhan platform pengguna bagi kumpulan berkenaan di seluruh Asia. Di samping itu, Fave juga akan menggaji lebih 100 pekerja baharu di Asia Tenggara dan India untuk memacu pembayaran tanpa tunai serta penjimatan pintar di seluruh rantau ini.

Fave akan terus memperkenalkan ciri pembayaran pintar baharu menerusi platform Fave, sekaligus menawarkan cara baharu kepada pengguna di seluruh Asia untuk memaksimumkan kegembiraan dan nilai setiap pengalaman beli-belah. Pada Ogos 2020, Fave mengumumkan kerjasama dengan Singtel dan DBS Bank yang membolehkan lebih setengah juta rakyat Singapura menggunakan Singtel Dash dan aplikasi e-dompet Paylah! untuk membuat pembayaran di kedai-kedai rakan kerjasama Fave.

Di India, pengenalan aplikasi Fave pada tahun ini amat bertepatan pada masanya, dengan Antaramuka Pembayaran Bersatu (UPI) berkembang sehingga 2.7 bilion urus niaga pada Mac 2021. Sementara itu, Pine Labs juga mencatatkan pertumbuhan signifikan sebanyak 171% dalam urus niaga UPI dalam dua suku terakhir. Aplikasi Fave akan dilancarkan di semua bandar utama di India.

You might also like