
Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus menghulurkan bantuan untuk menyokong penduduk di Projek Perumahan Rakyat dengan menyediakan WiFi percuma dan memanjangkan tempoh operasi Pusat Internet Komuniti (PIK) dalam tempoh mencabar ini. Dengan fokus kepada keluarga B40 di kalangan komuniti PPR, hubungan internet percuma ini disasar untuk memudahkan Pengajaran dan Pembelajran dari Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Akses internet percuma yang disediakan melalui perkhidmatan Celcom Home Wireless, kini berada di 30 PPR di negeri termasuk – Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan Sabah sehingga 30 April 2021, serta turut mensasarkan calon SPM dan STPM sebagai keutamaan. Perkhidmatan ini menyediakan internet tanpa had bagi aplikasi pembelajaran dan kelas atas talian melalui aplikasi seperti Microsoft Teams, Zoom, Google Meet, Google Classroom, dan Webex.
Sebagai tambahan, 24 PIK di Perlis, Kedah, Kuala Lumpur dan Sabah yang diuruskan oleh Celcom akan memanjangkan tempoh operasi daripada 9 pagi ke 9 malam, bagi membolehkan pelajar menggunakan fasiliti tersebut untuk pembelajaran atas talian. Inisiatif ini akan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam membendung COVID-19, di mana hanya bilangan pelajar yang terhad boleh berada dalam PIK pada suatu masa.
Inisiatif untuk komuniti PPR ini merupakan salah satu usaha Celcom dalam pembangunan negara yang inklusif, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk menyediakan bantuan hubungan internet kepada golongan pelajar B40, sebagaimana diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah pada Disember tahun lepas.

Sejak Mac 2020, Celcom bersama rakan industri telah menyokong rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di rumah melalui penyediaan 1GB data percuma setiap hari, sehingga 30 April 2021, yang sah selama 24 jam sebagai tambahan kepada data yang sedia dilanggan oleh pengguna. Dalam membantu pelajar yang sedang bersedia menghadapi peperiksaan, Celcom dan Industri turut menyediakan pakej data khas untuk calon SPM, STPM dan juga pelajar IPT.
Celcom turut menyediakan program Tuisyen Rakyat bagi pelajar di PPR terpilih untuk membantu pembelajaran mereka. Tuisyen atas talian percuma bagi calon SPM tersebut dikendalikan oleh para guru berpengalaman dalam subjek utama, melalui kolaborasi dengan Planet Mahir, iaitu sebuah pusat pembelajaran atas talian. Celcom dan Planet Mahir juga bekerjasama untuk menjalankan seminar atas talian bagi calon SPM yang disertai oleh pelajar di PPR terbabit.