
Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah membangunkan penyelesaian keselamatan siber berasaskan awan (cloud), Cisco Umbrella, khusus buat pelanggan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyediakan perlindungan penting bagi membolehkan syarikat untuk berhubung dengan selamat menerusi rangkaian Digi.

Menerusi kerjasama dengan firma keselamatan siber antarabangsa, Cisco, Digi mendahului dalam membantu PKS melindungi perniagaan mereka dengan keselamatan berasaskan Sistem Nama Domain (DNS-layer protection). Cisco Umbrella melindungi pengguna dengan menghalang permintaan kepada perisian jahat seperti `malware’, `ransomware’, `phishing’, `botnets’ dan sebagainya sebelum rangkaian sempat diaktifkan, sekali gus menyekat ancaman siber itu secara berkesan sebelum sempat menembusi rangkaian.

Disebabkan ia merupakan teknologi awan (cloud) yang tidak memerlukan pemasangan rumit pada peranti, maka syarikat perniagaan boleh melindungi kesemua peranti seperti komputer riba, komputer meja dan peranti pintar – selagi mereka terhubung dengan rangkaian internet Digi.
Ketika ini, Digi telah memperkenalkan penyelesaian itu kepada kira-kira 30,000 pengguna fasa perintis dan akan terus memastikan lebih ramai dapat menggunakannya secara berperingkat.Penyelesaian keselamatan berkualiti tinggi ini ditawarkan pada harga RM3 sebulan. Pelanggan boleh memilih untuk menamatkan langganan pada bila-bila masa dengan menghubungi pusat panggilan Digi Business di 016-299 8888 atau e-mel bsc@digi.com.my.