

Samsung sekali lagi membawakan kejutan apabila hari ini secara rasmi memperkenalkan Samsung Galaxy A50 dan Samsung Galaxy A30 untuk pasaran tempatan. Kedua-dua peranti dilihat hadir dengan rekaan takuk kecil pada skrin dikenali sebagai Infinity-U dan menggunakan antaramuka OneUI berasaskan Android 9 Pie.

Samsung Galaxy A50
Samsung Galaxy A50 membawakan paparan bersaiz 6.4 inci Super AMOLED pada resolusi FHD+. Ia dijana oleh cip pemproses Samsung Exynos 9610 dan dibantu memori sebesar 6GB RAM bersama storan dalaman 128GB (terdapat slot microSD sehingga 512GB).

Untuk kamera, Samsung Galaxy A50 dilengkapi sokongan tiga kamera utama 25MP (f/1.7) + 5MP (f/2.2) + 8MP (f/2.2) dan kamera hadapan pula sebesar 25MP (f/2.0). Melengkapi peranti, bateri 4,000 mAh (melalui USB-C) bersama pengecasan pantas 15W. Samsung turut menyertakan sokongan pengimbas cap jari dalam paparan pada peranti ini.
Samsung Galaxy A30
Samsung Galaxy A30 membawakan rekaan skrin yang sama seperti Galaxy A50 di mana menawarkan paparan bersaiz 6.4 inci Super AMOLED pada resolusi FHD+. Meskipun mempunyai saiz skrin yang sama, namun ia dijana oleh cip pemproses Samsung Exynos 7904 bersama memori lebih kecil iaitu 4GB RAM + 64GB ROM (terdapat slot microSD sehingga 512GB).

Untuk bateri, Galaxy A30 juga ditanam bateri 4,000 mAh (melalui USB-C) bersama pengecasan pantas 15W. Untuk kamera pula, peranti ini hanya membawakan dwi kamera utama 16MP (f/1.7) + 5MP (f/2.2) dan kamera hadapan sebesar 16MP (f/2.0). Tiada pengimbas cap jari dalam paparan, sebaliknya Galaxy A30 hanya disertakan cap jari fizikal pada panel belakang.

Harga & Ketersediaan
Tersedia dalam warna menarik seperti Putih, Biru dan Hitam, Galaxy A50 dijual pada harga RM 1,199 seunit. Untuk Galaxy A30 pula, ia ditawarkan pada harga RM799 dan tersedia dalam warna Putih, Biru dan Hitam. Bagi yang berminat boleh mendapatkan peranti ini di Samsung Experience dan Samsung Malaysia Online Store.

