OPPO Find X Akan Membawakan 4 Ciri Menarik Termasuk Kamera 5x Zum

Sebelum pengumuman rasmi dibuat, kebiasaan khabar angin mengenai spesifikasi akan tersebar sedikit demi sedikit. Jadi, disini OPPO mengesahkan OPPO Find X akan membawakan beberapa ciri menarik. OPPO Find X ialah sebuah peranti kelas induk yang akan dilancarkan pada 20 Jun 2018 di sebuah Muzium terkenal di Paris, The Louvre.

Generasi OPPO Find kini dikatakan akan muncul dengan wajah baharu yang serba moden. Antara ciri menarik adalah skrin penuh tanpa takuk, sistem dwi kamera dengan zum sehingga 5-kali, pengecasan pantas Super VOOC pertama didunia, dan kebolehan rangkaian 5G untuk panggilan video.

Dwi Kamera 5x Zum

Buat masa ini, kamera dengan teknologi 5-kali zum hanya terdapat pada peranti Huawei P20 Pro – itupun bukan menggunakan zum optikal. Kini, dengan teknologi yang lebih komersial OPPO turut menampilkan teknologi kamera dengan 5-kali zum melalui pembinaan kamera berkonsepkan periskop. Perumah kamera OPPO Find X dikhabarkan memiliki ketebalan hanya setebal 5.7mm. Menariknya, perumah kamera ini ialah 10 peratus lebih tebal berbanding perumah kamera dengan 2-kali zum yang ada di pasaran.

Super VOOC Pertama Didunia

OPPO Super VOOC telah diperkenalkan sudah sekian lama iaitu pada tahun 2016, cuma ia tidak diperluaskan sehingga ke barisan pengeluaran. Tidak lagi kekal sebagai teknologi konsep, tiba masanya OPPO meletakkannya kedalam OPPO Find X. Menerusi ujian yang dilakukan pasukan OPPO di makmal, sistem pengecasan Super VOOC mampu memenuhkan bateri hanya dalam tempoh yang singkat. Cuba bayangkan hanya 15 minit untuk bateri sebesar 2,500mAh dipenuhkan!

Sokongan Rangkaian 5G

Pada Januari 2018, OPPO telah mengumumkan program 5G dengan kerjasama Qualcomm Technologies. Selepas beberapa bulan iaitu pada 10 Mei yang lalu, Institut Penyelidikan Global OPPO pula mengumumkan kejayaan mereka dalam demonstrasi rangkaian 5G. Lantas, menjadikan teknologi ini yang pertama didunia menggunakan teknologi dipanggil 3D Structured Light untuk panggilan video 5G.

Paparan Skrin Penuh Tanpa Takuk

Selepas pengenalan iPhone X tahun lepas, banyak pengeluar mula menghasilkan peranti dengan skrin bertakuk. Bagaimanapun, baru-baru ini sempena FIFA 2018, sebuah syarikat dari China telah menunjukkan ‘taring’ dengan memperkenalkan peranti konsep dikenali sebagai ‘APEX’. Tidak mahu ketinggalan, OPPO Find X dikatakan bakal menggunakan skrin penuh tanpa takuk pertama keluaran OPPO. Skrin yang penuh menjadikan peranti ini memiliki nisbah skrin-ke-kerangka hampir 94 peratus berbanding iPhone X dengan 83 peratus.

Jadi, dengan senarai ciri-ciri menarik ini, adakah anda berasa teruja dengan OPPO Find X? Tinggalkan komen di bawah.

Tonton Live Streaming Terus Dari Paris Sempena Pelancaran OPPO Find X

You might also like