OnePlus 6 Akan Mula Dijual Pada Harga Bermula RM2,399 Di Malaysia Bermula Jun

Mi Han Sdn. Bhd selaku pengedar tunggal di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan membawa masuk OnePlus 6 secara rasmi ke pasaran tempatan bermula Jun ini. OnePlus 6 yang sedia maklum merupakan sebuah peranti induk yang hadir dengan wajah baharu menampilkan rekaan skrin bertakuk dan perkakasan dalaman berkuasa tinggi.

OnePlus 6 dilengkapi skrin AMOLED Optic 6.28-inci yang berteknologi DCI-P3 mampu memberikan warna paparan yang lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Ia dikuasakan dengan teras Qualcomm Snapdragon 845 dengan RAM sehingga 8GB bersama-sama Android 8.1 Oreo dan antaramuka OxygenOS.

Dwi kamera berteknologi serba baru menyediakan sensor 16 MP + 20 MP menawarkan penggambaran yang lebih baik melalui sistem penstabilan imej (OIS), aperture f/1.7, sokongan video 4K, dan video gerak perlahan 1080 piksel pada 240fps. Sementara kamera depan yang tersorok di bahagian takuk didatangkan dengan kamera 16 Megapiksel f/2.0.

Apa yang tetap menjadi tarikan pada peranti OnePlus ialah teknologi pengecasan pantas Dash Charge yang pantas. OnePlus 6 dibekalkan bateri berkapasiti 3,300mAh yang mampu memberikan kuasa sehari hanya dengan 30 minit pengecasan. Selain itu, butang selak fizikal di sisi kerangka memudahkan pengguna untuk meletakkan peranti dalam keadaan Ring, Vibrate, atau Silent.

OnePlus 6 dengan pilihan warna Mirror Black (berkilau), Midnight Black, dan Silk White akan dijual di wakil-wakil sah Min Han Sdn. Bhd seluruh Malaysia bermula 10 Jun 2018. Harga untuk warna dan varian boleh lihat di bawah:

  • 6GB + 64GB = RM2,399 (Mirror Black)
  • 8GB + 128GB = RM2,799 (Mirror Black/Midnight Black/Silk White)
  • 8GB + 256GB = RM3,099 (Midnight Black)

Dalam masa sama, sesi pra-tempahan turut dibuka bermula 5 hingga 7 Jun 2018 di Lazada untuk mendapatkan baucar beli-belah bernilai RM50.

You might also like