Sony Xperia XZ2 Premium Hadir Dengan Dwi-kamera Utama, Skrin 4K HDR

Sony akhirnya mengikut rentak apabila baru-baru ini mereka telah melancarkan sebuah peranti terbaharu Sony Xperia XZ2 Premium. Peranti ini merupakan peranti pertama Sony yang hadir dengan konfigurasi dwi-kamera, selain dilengkapi paparan 4K HDR dan RAM sebesar 6GB.

Sony Xperia XZ2 Premium dipadankan skrin 5.8” TRILUMINOS IPS LCD 4K bersolusi 2160 x 3840p dengan perlindungan Corning Gorilla Glass 5. Sistem dalaman dikuasakan cip pemproses Snapdragon 845, RAM 6GB, dan storan 64GB (kad mikroSD sehingga 400GB), serta bateri berkapasiti 3,540mAh.

Sistem dwi-kamera menempatkan sensor 19 MP f/1.8 + 12 MP f/1.6 menggunakan teknologi SteadyShot dan bukan sistem penstabilan imej (OIS). Ia masih menggunakan G-Lens dan Motion Eye bersama mod rakaman gerak-perlahan 960fps 1080p serta rakaman video beresolusi 4K HDR. Sokongan imej monochrome dan imej berlatar belakang kabur akan dikemas kini ke dalam peranti pada suku ke-3 2018.

Gabungan dwi-kamera ini turut membolehkan penggambaran waktu malap lebih terang dengan ISO 51,200 untuk gambar dan ISO 12,800 untuk video. Kamera depan pula dilengkapi sensor 13 Megapiksel f/2.0 turut menyokong ISO 3,200.

Sistem keselamatan biometrik pada peranti ini diposisikan di bahagian bawah modul kamera utama, selain teknologi pengecasan pantas Quick Charge 3.0 dan sokongan pengecasan tanpa wayar.

You might also like