
HARGA: RM 6,699
ASUS ZenBook Flip S merupakan laptop boleh-diubah paling nipis di dunia setakat ini. Ketebalannya dibina hanya 1.5 kali ganda lebih tebal berbanding telefon pintar ternipis yang berada di pasaran. Walaupun dengan rekaan yang nipis, perkakasan dalaman yang berprestasi tinggi mampu membuatkan anda terpegun untuk seketika. Sebelum anda baca lebih lanjut, kami ada 4 poin yang perlu anda tahu mengenai laptop ini:
• Laptop bersaiz 13.3-inci boleh-diubah paling nipis di dunia dengan ketebalan hanya 10.9mm.
• Laptop ASUS pertama di dunia menggunakan bahan aluminium gred aeroangkasa “6013” di mana 50% lebih tahan lasak berbanding laptop yang berada di pasaran.
• Laptop boleh-diubah paling berkuasa di dunia dengan pemproses Generasi ke-7 Intel Core i7-7500U yang dibantu perkakasan lain.
• Laptop yang menggunakan kipas penyejuk ternipis di dunia untuk mengurangkan haba.
SPESIFIKASI
SET PEMBELIAN
Pada harga yang premium ini, ia didatangkan dengan kotak pembungkusan yang menarik. Rekaan kotak keras dan berkualiti menonjolkan lagi nilai estetik pada laptop ini.
FIZIKAL LUARAN

Rupa luaran yang menarik mampu mendorong kita untuk membeli sesuatu produk, lebih-lebih lagi ia berharga ribuan ringgit.

Jadi dengan ciri-ciri fizikal yang ditawarkan pada ZenBook Flip S, sekali pandang sesiapapun akan tertarik dengan rekaannya.

Kemasan pada permukaan yang menggunakan bahan berkualiti tinggi serta kombinasi warna menjadikan ia sebuah laptop serba mewah.

Ia sekaligus sesuai dipadankan untuk mereka yang mementingkan gaya hidup dan produktiviti.
Apa Yang Dimaksudkan Laptop Boleh-diubah?
Bukan hanya terhad sebagai sebuah laptop, ZenBook Flip S berupaya untuk diubah mengikut kesesuaian pengguna termasuk menjadi sebuah tablet. Jadi, ia bukan sekadar untuk melakukan kerja-kerja pejabat tetapi boleh dijadikan alat hiburan tidak kira di mana sahaja.
Mod Laptop
Mod Khemah
Mod Berdiri
Mod Tablet
SUDUT PAPARAN

Jurutera ASUS berjaya menghasilkan ZenBook Flip S dengan baik sekali dari segi paparan. Berukuran 13.3-inci, skrin ini berupaya memberikan keterangan yang tinggi di samping warna gamut sehingga 100 peratus.

Sekali imbas, paparan tampak lebih moden kerana dipadankan dengan bingkai yang nipis. Menguatkan lagi, ia turut dilindungi gelas tahan lasak menerusi teknologi Corning Gorilla Glass 5.

JABATAN AUDIO
Tanpa menyingkirkan sistem bunyi audio, laptop ini dimuatkan dengan dua corong speaker berteknologi Harmon Kardon.

Malah, ZenBook Flip S turut ditemani perkakasan audio daripada SonicMaster yang menjanjikan bunyi lebih kuat serta bunyi bass lebih mendalam.

INTEGRASI KAMERA
Tidak lengkap untuk sebuah laptop jika kamera depan tidak didatangkan sekali. Untuk itu, terdapat satu lensa yang disediakan kepada pemilik ZenBook Flip S.

Mengikut kertas spesifikasi, kamera depan ini beresolusi 640 x 480p dan bukan HD penuh seperti yang dijangka.

CAPAIAN BUTANG & BICU
Ketebalan yang minimal sudah tentu akan mengurangkan sambungan bicu. Jadi dengan ruang yang terhad, ZenBook Flip S menyediakan bicu USB-C pelbagai-guna.

Bicu ini boleh digunakan untuk memindahkan fail, malah boleh juga digunakan untuk mengecas laptop.

Jika pengguna mahukan lebih banyak bicu, di dalam kotak pembungkusan terdapat dok mini yang memiliki tiga bicu berbeza.
Dok mini

PAD SESENTUH PINTAR
Pad sesentuh merupakan salah satu bahagian terpenting untuk sebuah laptop. Jadi untuk menjadikannya lebih praktikal, pad sesentuh pada ZenBook Flip S menyokong beberapa leretan pintas seperti klik kanan, klik kiri, menatal pelayar, zum masuk dan keluar, menunjukkan desktop dan sebagainya. Pengguna boleh menggunakan ciri pintas ini lebih mudah dan menjimatkan masa.
PENGIMBAS CAP JARI
Buat masa ini, sistem biometrik yang menggunakan pengimbas cap jari merupakan alternatif pilihan pengguna. Di samping itu, ia juga akan mengunci peranti daripada individu lain daripada diakses.

Pada ZenBook Flip S, ia boleh digunakan melalui Windows Hello untuk mengunci dan membuka laptop selain membuat pengesahan dalam beberapa aplikasi yang tertentu.
CIRI UNIK
Pen Stylus
Jika anda seorang pereka fesyen yang mencari laptop yang sesuai, ZenBook Flip S merupakan pilihan yang tepat. Mengapa kami berkata begitu, kerana laptop ini didatangkan dengan pen stylus yang mampu membaca 1,024 tahap tekanan.
Secara tidak langsung ia akan memberikan pengguna rasa yang natural seperti melakar di atas kertas.
Windows Ink Workspace

Aplikasi Windows Ink Workspace yang dijana oleh Windows 10 membolehkan pengguna menggunakan pen stylus untuk membuat nota lekat (Sticky Notes), pad melakar (Sketchpad) dan melakar skrin (Screen sketch).

Ini termasuk pengguna untuk mencatit nota penting, melukis baju yang diilhamkan serta menyunting screenshot menggunakan perkakasan melakar yang disediakan.
Ujian Benchmark

Kami juga telah menjalankan ujian kelajuan proses data bagi stor dalaman ZenBook Flip S. Kami turut menggunakan aplikasi CrystalDiskMark untuk mendapatkan data kelajuan pemproses read dan write untuk laptop ini.
Gambar yang disertakan menunjukkan ujian keputusan ujian Seq dan juga 4K.
Bateri
Kami mendapati bateri yang dikuasakan tidak dapat memberi jangka masa yang panjang. Ia hanya boleh memberi tontonan hampir untuk dua buah filem pada resolusi HD penuh.
Bagaimanapun, untuk pengecasan semula, ia mengambil masa yang agak singkat untuk sesebuah laptop.
ULASAN
Sepanjang menggunakan ASUS ZenBook Flip S, laptop ini beraksi dengan baik tanpa sebarang masalah. Ia juga mudah dibawa ke mana-mana oleh kerana saiz yang kompak. Bagaimanapun, pada harga sebegini kami percaya ramai di antara anda berfikir panjang untuk memilikinya.
Tetapi jika anda inginkan sebuah laptop yang mampu melakukan pelbagai kerja dengan praktikaliti maksimum, ia agak berbaloi untuk dimiliki. Tambahan, kuasa yang disalurkan banyak membantu anda melakukan kerja-kerja profesional.










