
Meizu Malaysia menerusi Facebooknya dengan senang hati mengumumkan penurunan harga sebanyak RM400 bagi model Meizu Pro 7. Pada September 2017, telefon pintar ini telah diperkenalkan di Malaysia dengan tanda harga RM1,899 manakala Meizu Pro 7 Plus adalah berharga RM2,799 dengan tawaran RAM sebesar 6GB.
Kelebihan telefon pintar ini adalah hadir dengan skrin sekunder yang dipanggil sebagai fenetre. Ia ditugaskan menjadi paparan notifikasi, pemain lagu, dan bantuan swafoto menggunakan kamera belakang. Ini secara tidak langsung membantu pengguna memudahkan kehidupan seharian yang tidak ditawarkan pada peranti lain di luar sana.
Rekaan yang unik ini pula ditambah dengan fungsi kamera 16 Megapiksel f/2.0 di depan, dan dwi sensor Sony IMX386 12 Megapiksel f/2.0 di sebelah belakang untuk kedua-dua varian. Pengalaman fotografi lebih baik dengan adanya mod latar belakang kabur serta monokrom turut menjanjikan foto hitam putih yang berkualiti tinggi.
Meizu Pro 7 hadir dengan pemproses jimat tenaga Helio P25 dan dioperasikan dari sistem antaramuka Flyme 6 serta Android Nougat. Bagi sistem janaan pula ia menerima bateri sebesar 3,000mAh dengan teknologi pengecasan pantas mCharge 4.0.

