
Samsung Galaxy S8+ – MANGSA Terbaru Menjadi Pilihan LANUN KLON…
Sebagaimana kami pernah katakan sebelum ini, populariti merupakan faktor atau kriteria utama yang akan dilihat oleh pengeluar peranti klon dalam meneruskan usaha mereka untuk menjual produk yang dihasilkan. Tidak dinafikan ada di antara pengguna di luar sana yang menyokong usaha yang dibuat oleh pengeluar peranti klon ini kerana harga jualannya adalah jauh lebih murah berbanding peranti yang asli.

Bahkan mungkin tanpa mereka sedari, pengalaman menggunakan peranti klon ini sebenarnya jauh berbeza dan tidak sebaik peranti asli. Lebih menyedihkan, terdapat segelintir penjual yang akan mengambil kesempatan dengan menjual peranti klon ini sama seperti harga jualan peranti yang asli dalam usaha menipu pembeli yang kurang peka. Kini pengeluar peranti klon dilihat telah memilih Samsung Galaxy S8 sebagai mangsa seterusnya. Jadi diharapkan agar pengguna di luar sana sentiasa berwaspada dengan model klon ini…
Beberapa percubaan yang gagal…

Berdasarkan gambar di atas, jelas dapat dilihat bahawa pengeluar peranti klon ini sebenarnya telah membuat beberapa percubaan untuk meniru rekaan sebenar Samsung Galaxy S8+, tetapi ianya boleh dikatakan gagal. Ini jelas dapat dilihat pada percubaan pertama yang dihasilkan sebelum model yang asli diumumkan lagi.

Tetapi panel belakang peranti klon ini dilihat semakin baik dari percubaan pertama hinggalah ke percubaan yang ketiga kerana ia hampir menyerupai rekaan asal Samsung Galaxy S8+.
Model klon kini kelihatan lebih mirip…
Kotak Pembungkusan
Sememangnya agak sukar untuk pengguna membezakan antara kotak Samsung Galaxy S8+ set klon dengan set yang asli kerana ia kelihatan hampir sama. Ini kerana set klon juga didatangkan dengan sarung kotak yang berasingan sama seperti set asli.
Lebih mengejutkan, kotak pembungkusan dalamnya juga dibuat lebih terperinci kerana ia turut menyokong cara bukaan kotak yang sama. Tetapi plastik pelindung skrin jelas mengesahkan bahawa ia merupakan set klon kerana tertera perkataan ‘Galaxy S8+ edge’.
Reka Bentuk
Walaupun menggunakan nama model Samsung Galaxy S8+, sebenarnya saiz set klon ini hampir sama seperti model Samsung Galaxy S8. Cuma ia sedikit tinggi, lebar dan tebal berbanding yang asli.
Panel depan kelihatan sangat menarik kerana ia turut mengekalkan paparan infiniti dengan saiz bezel yang agak nipis.
Sememangnya set klon Samsung Galaxy S8+ ini mudah memperdayakan pengguna kerana ia kelihatan sangat mirip seperti set asli. Apa yang membezakannya hanyalah ketiadaan cetakan logo ‘Galaxy S8’ dan juga info di bahagian bawah panel belakang.
Selain itu, warna Orchid Gray pada set klon (kanan) juga kelihatan agak kusam dan tiada efek cahaya sebagaimana set asli (kiri).
Lebih menariknya, set klon (kiri) juga turut dilengkapi dengan butang ‘Bixby’ sama seperti set asli (kanan).
Malah kedudukan dan juga saiz slot kad SIM pada set klon (kanan) kelihatan sama seperti set asli (kiri).
Kedudukan port 3.5mm audio jack, port USB Type-C dan juga rekaan gril speaker mono juga tidak jauh berbeza.

Walaupun ia tidak menyokong ciri-ciri pengimbas wajah sebagaimana set asli (kanan), set klon (kiri) masih dilengkapi dengan rekaan sensor tiruan Iris Scanner.
Antaramuka

Tidak dinafikan rekaan bezel pada set klon (kiri) agak besar saiznya, tetapi ia sukar dibezakan tanpa rujukan kerana selain rekaan fizikal, paparan antaramukanya juga kelihatan sama seperti set asli (kanan).

Ruangan App Drawer juga menampilkan rekaan ikon yang kelihatan sangat mirip, begitu juga dengan ikon butang kawalan.

Secara keseluruhannya, antaramuka tetapan set klon (kiri) mengekalkan rekaan ikon yang sama cuma saiz fon agak besar kerana ia mungkin disebabkan oleh faktor resolusi yang lebih rendah.

Bahagian Quick Settings serta Notification Area pada set klon (kiri) sedikit berbeza kerana ia tidak menyokong bar untuk melaras keterangan skrin dan penampilan notifikasi juga turut berbeza.

Tidak cukup dengan itu, antaramuka aplikasi eksklusif Bixby yang sama juga turut disokong pada set klon (kiri).
Apa yang pasti, set klon ini juga tidak mengecewakan kerana ia menyokong Android 7.0 Nougat.
Kalau tak tengok baik2, agak susah untuk membezakan juga! Berhati2 ya korang~


