ZTE Blade Z Max Dengan Paparan 6”, Dwi Kamera Diumumkan

Baru-baru ini ZTE menampilkan sebuah phablet terbaru ZTE Blade Z Max dengan skrin bersaiz 6 inci beresolusi HD penuh serta kehadiran sistem dwi kamera di belakang. Peranti ini telah ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat pada harga serendah USD129 (hampir RM555) sebuah.

Walaupun dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding telefon pintar dwi kamera yang lain, Blade Z Max masih menerima cip berkuasa Snapdragon 435. Memori RAM 2GB dan storan seluas 32GB diletakkan bersama disamping menyokong kad microSD sehingga 128GB. Phablet ini juga menyediakan bateri berkapasiti 4,080mAh dengan sambungan USB Type-C untuk pengecasan.

Selain itu, dua sensor kamera 16MP dan 2MP di bahagian belakang ZTE Blade Z Max mampu mengambil gambar melalui mod bokeh, panorama, time-lapse, dan manual. Sementara, kamera swafoto pula menerima sensor 8 Megapiksel yang dibantu mod beauty.

ZTE Blade Z Max buat masa ini hanya tersedia di pasaran AS dan pihak pengeluar masih belum menyatakan sama ada ia akan dibawa masuk di negara lain termasuk Malaysia.

You might also like